Pahang Pertahan Piala Malaysia 2014

BUKIT JALIL, 2 Nov –  Pahang terus mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia 2014 selepas pemain penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) Norshahrul Idlan Talaha gagal menyempurnakan sepakan penentuan penalti menjadikan kedudukan Pahang 5-3 JDT.

image

Perlawanan akhir Piala Malaysia di antara JDT dan Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sekalipun selepas tamat masa tambahan permainan 30 minit.

JDT terlebih dahulu bangkit mendahului 2-1 ke atas Pahang selepas berakhir separuh masa pertama.

Namun Pahang bijak mengatur percaturan dengan kelebihan memiliki pemain yang pernah beraksi di pentas final, tahun lalu, bermula lebih tenang mengawal permainan dan berjaya melancarkan beberapa serangan ke gawang JDT tapi gagal menerjah gol.

PicsArt_1414852185880

Namun, keadaan padang yang licin akibat hujan sebelum permainan dilihat agak merencatkan sedikit gerakan kedua-dua pasukan.

Pahang mengaut peluang awal apabila mendahului seawal minit ke-14 menerusi tandukan penyerang ‘besi’, Dickson Nwakaeme yang menyambut kemas sepakan percuma Azidan Sarudin.

Pahang memperoleh sepakan percuma itu selepas pemain sayap lincah, R Gopinathan dijatuhkan pertahanan JDT, Mahali Jasuli.

Seakan terdesak dengan jaringan Pahang, JDT pantas mengubah kepantasan permainan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan kapten, Safiq Rahim namun berjaya ditampan pertahanan Pahang.

Perlawanan kemudian bertambah panas yang menyaksikan pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed terpaksa melayangkan kad kuning kepada Jasazrin Jamaluddin kerana mengasari Gopinathan.

Memasuki minit ke-31 permainan, JDT memperoleh jaringan penyamaan menerusi jaringan penyerang import, Jorge Diaz yang tidak mempersia-siakan kekalutan di depan gawang Pahang dengan meledak masuk gol menewaskan penjaga gol, Khairul Azhan.

PicsArt_1414849011282

Selang empat minit, JDT dianugerahkan sepakan penalti selepas kapten Pahang, Razman Roslan memegang bola kawasan penalti.

Penalti disempurnakan seorang lagi pemain import JDT, Luciano Figueroa.

Pada separuh masa kedua, pemain Pahang Azidan Sarudin dilayangkan kad merah kerana menumbuk perut Amri Yahya menyebabkan Pahang terpaksa bermain dengan 10 pemain.

Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat Skuad Tok Gajah apabila Dickson Nwakaeme sekali lagi berjaya menjaringkan gol bagi menyamakan kedudukan pada minit ke 71.

Advertisements