MCA Akan Bantu Kerajaan Untuk Tingkatkan Penguasaan Bahasa Melayu Dikalangan Pelajar Di SJKC – Liow Tiong Lai

KOTA BARU, 3 Nov – MCA akan membantu kerajaan dan Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara.

image

Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata MCA sangat mengambil berat perkara itu dan mengakui apa yang dilakukan ketika ini masih tidak memadai untuk memastikan seluruh pelajar di sekolah aliran berkenaan menguasai bahasa kebangsaan.

“MCA menyambut baik usaha kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu di SJKC.

“Kita memang sedia membantu SJKC pertingkatkan bahasa kebangsaan ini dan penting untuk mereka fasih dan belajar bahasa ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia Ke-55 di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan statistik Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mendapati 604 peserta Cina dan India tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Perkara itu didedahkan Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi Selangor Prof Dr Teo Kok Seong berikutan kajian yang dijalankan ke atas 14,000 pelatih di 79 buah kem PLKN di seluruh negara pada 2010.

Liow, yang mengakui pelajar yang tinggal di luar bandar sememangnya menghadapi kesukaran untuk menguasai bahasa Melayu berkata kelas tambahan untuk pengajaran bahasa itu perlu diadakan.

“Di sekolah, pelajar perlu menguasai tiga bahasa iaitu bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dan kerana itu ia merupakan faktor mereka sukar menguasainya pada peringkat sekolah rendah.

“Tetapi apabila mereka berada di sekolah menengah, keadaan itu sudah berubah dan mereka boleh menguasainya dengan baik walaupun secara perlahan,” katanya.

Beliau berkata satu jawatankuasa dipengerusikan timbalannya Datuk Dr Wee Ka Siong telah pun mengerakkan usaha ke arah itu dengan kerjasama badan bukan kerajaan.

“Saya yakin dengan usaha ini pelajar di SJKC dapat memperbaiki penguasaan bahasa Melayu. Apa pun ia boleh diperbaiki,” katanya.

Advertisements