Liwat II: Anwar Perlu Lakukan Ujian DNA Di Luar Negara Untuk Buktikan Tidak Bersalah – Shafee Abdullah

PUTRAJAYA, 5 Nov – Kemelut sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim salah atau tidak terhadap tuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan dapat ditentukan jika Ketua Pembangkang itu sendiri menjalani ujian DNA di luar negara, kata pendakwa raya kerajaan.

image

Tan Sri Mohamad Shafee Abdullah berkata Anwar tidak melakukan ujian itu, sebaliknya hanya mendakwa berlaku pemalsuan dan pencemaran bahan bukti DNA.

Shafee memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa Anwar bebas membuat ujian itu di Australia atau Amerika Syarikat untuk menyangkal beliau adalah “Lelaki Y”.

Pakar DNA kerajaan mendakwa Anwar adalah Lelaki Y yang memiliki sampel DNA air mani yang ditemui dalam dubur Saiful.

Profil DNA air mani Anwar itu dipadankan dengan DNA yang diambil daripada beberapa barang yang didakwa digunakan Anwar ketika bermalam dalam lokap polis.

Anwar enggan membenarkan sampelnya diambil oleh doktor kerajaan pada malam beliau ditahan untuk siasatan tuduhan meliwat, pada 2008.

Peguamnya berkata, barangan dari lokap itu diambil secara tipu helah untuk mendapatkan DNA Anwar.

Shafee berkata, ahli kimia kerajaan yang memprofil DNA Saiful tidak pernah menafikan berlaku penurunan dalam kualiti sampel itu, namun ia cukup untuk memberikan bacaan jelas.

Beliau malah mengaku beberapa bentuk penurunan berlaku sejak sampel itu diambil daripada Saiful, kira-kira 54 hingga 56 jam selepas tuduhan meliwat.

“Bacaannya 16 pointer. Semua 16 point kepada Anwar,” kata Shafee, memetik keterangan Dr Seah. Nombor itu merujuk kepada markah dalam profil DNA yang mengenal pasti sampel itu milik kepada seseorang.

“Selagi sampel boleh dibaca, itulah. Tidak perlu ujian untuk melihat darjah kemerosotan,” kata Shafee.

Beliau menyangkal keterangan saksi pakar pembelaan, Dr Brian McDonald yang Shafee kata pakar itu tidak menjalankan ujian DNA itu sendiri.

Shafee berkata, dalam mahkamah Australia, McDonald tidak dianggap pakar sebenar DNA.

Mahkamah Rayuan yang membatalkan pembebasan Anwar juga menganggap saksi itu sebagai “pakar yang hanya pandai berteori”.

Mahkamah di Australia meragui kredibiliti McDonalds dalam beberapa kes yang dibantunya pada 2007, 2008 dan 2014, kata Shafee.

Memetik dua kes, Shafee berhujah “bukti McDonald tidak pernah diterima” dan keterangannya “tidak boleh diharap”.

“Hakim terdahulu berkata beliau berada dalam bidang DNA, bukan mengamalkannya,” kata Shafee.

Shafee yang dilantik kerajaan untuk bertindak sebagai pendakwa raya berkata, pihak pembela menamakan 14 alibi, termasuk isteri Anwar dan ketua kakitangannya.

Shafee berhujah, keputusan pihak pembelaan tidak memanggil saksi alibi itu kerana tekanan polis adalah “sangat mengarut,”

Beliau berkata, ada kes undang-undang di mana kesimpulan bertentangan boleh dibuat jika pembelaan tidak memanggil saksi alibinya.

Shafee menyampaikan hujahan penggulungannya menentang rayuan Anwar untuk membatalkan sabitan bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Anwar dibebaskan selepas dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada 2012, tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac, tahun ini.

Anwar turut dihukum penjara lima tahun untuk kesalahan itu dan kini hanya bergantung kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan hukuman itu.

Beliau kemudian menunjukkan kepada mahkamah 2 gambar berwarna diambil daripada rakaman CCTV menunjukkan Anwar dan Saiful tiba di pangsapuri di mana kejadian liwat berlaku pada 26 Jun, 2008.

Anwar tiba dulu dan diikuti Saiful.

Shafee berkata, ketika Anwar mendakwa itu adalah “tuduhan paling teruk” dibuat terhadapnya, beliau sebenarnya tidak menafikan berada dalam bangunan pangsapuri itu.

Shafee berkata, Anwar mempunyai “tanggungjawab sah untuk mematahkan kehadirannya di tempat dan waktu berkenaan” dalam pangsapuri di mana Saiful dikatakan diliwat, atau namun beliau (Anwar) gagal berbuat demikian.

Ketua pembangkang itu didakwa meliwat Saiful, bekas pembantunya, di sebuah pangsapuri di Damansara pada 26 Jun, 2008.

Ini adalah dakwann meliwat yang kedua terhadap Anwar. Kali pertama pada 1998, selepas beliau disingkirkan daripada kerajaan sementara masih memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Beliau pada ketika itu didakwa meliwat bekas pemandunya, kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketua Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mendengar rayuan itu, yang masuk hari ke-6 semalam.