Kerajaan Akan Batalkan Kontrak NFC

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Kerajaan akan membatalkan kontrak dengan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) berikutan kegagalan syarikat itu menjelaskan pembayaran balik bagi pinjaman berjumlah RM250 juta.
image

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata syarikat itu gagal menjelaskan pembayaran ansuran pinjaman itu bagi tahun ini yang telah matang pada 9 Jan lepas.

“Kerajaan telah mengemukakan Notis Membaiki Kemungkiran kepada NFCorp pada 5 Mei 2014 dengan tempoh yang diberikan selama 90 hari. Bagaimanapun, NFCorp tetap gagal meremedi kemungkiran tersebut.

“Lanjutan daripada itu, kerajaan mengemukakan Notis Pengisytiharan sekiranya berlaku kemungkiran pada 4 Sept 2014 untuk penamatan perjanjian dan seterusnya akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Khalid meminta Menteri Kewangan memberitahu mengenai status tuntutan semula pinjaman kewangan yang diberikan kepada NFC.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pinjaman tersebut perlu dibayar bermula 2012 sehingga 2028.

“Sehingga 30 Sept 2014, bayaran balik yang dikutip ialah RM34.98 juta bagi ansuran 2012 dan 2013,” katanya.

Isu NFC berbangkit apabila didakwa telah menyalah guna peruntukan kerajaan sebanyak RM250 juta untuk projek pengeluaran daging.