PPS: Kerajaan Pulau Pinang Akan Cabar KDN Melalui Perundangan

GEORGE TOWN, 5 Nov – Kerajaan Pulau Pinang bercadang untuk mencabar pengisytiharan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang ialah sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

image

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, ia adalah menyalahi undang-undang untuk mengisytiharkan PPS sebagai sebuah pertubuhan haram tanpa sebarang komunikasi, siasatan sewajarnya dan menghormati prinsip keadilan semula jadi.

Beliau berkata Menteri Dalam Negeri secara terang-terang tidak menghormati prinsip keadilan.

“Kami akan berbincang dengan pasukan guaman kami untuk memulakan prosiding perundangan memohon semakan kehakiman terhadap pengisytiharan yang dibuat Menteri Dalam Negeri,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, Rabu.

Beliau berkata pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perancangan Bandar Negeri pengerusi Jagdeep Singh Deo akan mengetuai pasukan guaman kerajaan negeri untuk memulakan prosiding memohon semakan kehakiman.

Pada Selasa, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff mengisytiharkan PPS sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 dan mengarahkan semua akaun, aset dan hartanah PPS Pulau Pinang diserahkan atau digulung oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Bagaimanapun, Lim berkata tiada apa-apa yang hendak diserahkan kerana semua peralatan dan aset PPS adalah milik kerajaan negeri dan tidak ada aset yang didaftarkan di bawah PPS.

“Kementerian sama sekali tidak berkomunikasi dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung perkara itu untuk membolehkan kami mempertahankan diri, ” katanya.

Selepas lima tahun penubuhannya, beliau berkata PPS sekarang mempunyai 9,002 anggota terdiri daripada 57 peratus masyarakat Cina, 33 peratus Melayu dan 10 peratus masyarakat India.

“Penubuhan PPS bertujuan untuk membantu polis Pulau Pinang dalam tugas rondaan dan membantu dalam kerja bantuan dan kecemasan,” kata beliau.

Pada Ogos, 157 anggota PPS ditahan apabila polis mengisytiharkan PPS sebagai sebuah pertubuhan haram dan tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Pada masa ini kesemuanya dibebaskan atas jaminan polis.

Advertisements