Pengurangan Subsidi Minyak: Jokowi Bersedia Untuk Tidak Popular

KENDARI, 8 Nov – Presiden Joko Widodo bersedia untuk tidak popular di kalangan rakyat republik itu berikutan keputusannya untuk menaikkan harga minyak.

image

Bagaimanapun, beliau yang dikenalis sebagai Jokowi berkata, tindakan menaikkan harga minyak yang dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat ini, adalah penting bagi ekonomi negara.

“Ada yang memberi amaran saya tidak akan popular. Tetapi saya menjadi pemimpin bukan untuk popular.

“Pemimpin harus berani untuk membuat keputusan bagi kebaikan negara dan rakyat. Tidak kira jika keputusan itu menyebabkan saya tidak popular.

“Tidak kiralah jika kemungkinan rakyat akan mengadakan demonstrasi membantahnya,” kata Jokowi.

Bercakap di hadapan Alumni Universitas Gajahmada (KAGAMA) di sini, Sulawesi Tenggara, pada Khamis, pemimpin Indonesia itu mengaku berdepan risiko berikutan keputusannya itu.

Jokowi berkata, jika tindakan itu tidak dilakukan, selama lima tahun akan datang kerajaan terpaksa menanggung subsidi minyak melebihi perbelanjaan untuk infrastruktur dan perbelanjaan kesihatan.

“Saya ingin menyedarkan rakyat Indonesia. Yang tidak betul perlu kita betulkan,” katanya.

Menurutnya, penjimatan daripada pengurangan subsidi itu akan disalurkan untuk pembangunan negara, termasuk pertanian.

Advertisements