Hamas Tubuh Tentera Baharu Untuk Membebaskan Masjid Al-Aqsa Dari Cekaman Israel

GAZA 8 Nov – Pergerakan Hamas, hari ini mengumumkan pembentukan sepasukan tentera baharu bagi membebaskan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur daripada cengkaman Israel, yang mencetuskan keganasan di wilayah Palestin di Tebing Barat.

image

Jurucakap Briged Ezzidine al-Qassam, tentera sayap Hamas, Mohammed Abu Askar berkata, satu majlis penubuhan pasukan bersenjata baharu itu diadakan di kem pelarian Jabaliya yang akan melibatkan 2,500 rekrut bagi menggalas tugas membebaskan masjid tersebut dan bumi Palestin.

Abu Askar berkata, pasukan baharu itu turut berperanan mengekang sebarang keganasan Israel pada masa akan datang terutama di Masjid Al-Aqsa.

“Rekrut baharu yang berusia 20 tahun ke atas perlu bersedia berdepan konfrontasi dengan rejim Zionis yang semakin melampau dan bertindak kejam menghalang penduduk Palestin di Tebing Barat memasuki kawasan suci tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu hari ini, penduduk Palestin yang bersenjatakan batu bertempur dengan polis Israel di kem pelarian Shuafat yang kini memasuki hari ketiga konflik di Tebing Barat, tetapi tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Semalam, penunjuk perasaan Palestin mengadakan bantahan di pusat pemeriksaan Qalandia, Beit Lahm dan al-Khalil bagi menyuarakan kemarahan mereka terhadap tindakan Israel menghalang pengunjung berusia 50 tahun ke bawah memasuki Masjid Al-Aqsa.

Tentera rejim kemudiannya menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstrasi berkenaan.

Sebelum itu, Tel Aviv mengerahkan kira-kira 1,300 askar berkawal di dalam dan sekitar kawasan Baitulmaqdis Timur bagi mengekang bantahan penduduk Palestin. – AFP

Advertisements