Kerajaan Belajar Dari Negara Yang Telah Berjaya Laksanakan GST

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Kerajaan ternyata bersungguh-sungguh dalam usaha memberi penjelasan tentang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada orang ramai meliputi pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang.

image

Sejak GST diluluskan di Parlimen pada Julai lalu, pelbagai program penjelasan dan penerangan dilaksanakan oleh kerajaan termasuk dua program yang dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antaranya, Taklimat Perdana GST yang menghimpunkan lebih 4,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan kemudiannya, Persidangan Antarabangsa GST di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, ada sahaja program-program penerangan GST diadakan untuk kumpulan sasaran hampir setiap minggu.

Kesungguhan itu jelas mempamerkan komitmen kerajaan menerusi Kementerian Kewangan dan agensi di bawahnya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk memastikan rakyat memahami konsep sebenar pelaksanaan GST sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 April 2015.

Kerajaan telah menegaskan bahawa tarikh tersebut tidak akan ditangguh lagi memandangkan pengurusan cukai yang efisien dapat memberi kelebihan kepada rakyat di negara ini.

Malah, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan pernah menyatakan komitmen untuk menambah bilangan penguat kuasa JKDM bagi memastikan pelaksanaan GST berjalan lancar.

Untuk itu, Malaysia perlu mempelajari sesuatu daripada negara-negara yang telah menguatkuasakan sistem kutipan cukai ini. Bagi sesetengah negara, GST lebih dikenali sebagai cukai nilai tambah (VAT).

Persidangan Antarabangsa GST yang diadakan bulan lalu merupakan antara platform terbaik dalam membincangkan pelaksanaan cukai ini dengan menghimpunkan pakar-pakar cukai dari Afrika Selatan, Thailand, New Zealand, United Kingdom (UK), Indonesia dan Singapura.

Malah, pakar-pakar yang membentangkan kertas kerja pada persidangan itu sependapat, dengan sistem cukai tersebut terbukti kutipan cukai yang cekap walaupun berdepan pelbagai cabaran pada peringkat awal pelaksanaannya.

Pengurus Kanan Perkhidmatan Hasil Afrika Selatan, Lesley O’ Connell Xego berkata, interaksi seperti dialog umum atau majlis-majlis penerangan dapat meningkatkan kefahaman kedua-dua pihak sama ada kerajaan mahupun orang awam terhadap pelaksanaan VAT.

“Penerbitan dokumen berkaitan juga dapat mengumpul maklum balas berhubung cukai tersebut kerana adalah penting untuk melibatkan pihak-pihak berkepentingan bagi meningkatkan kefahaman mereka,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perakaunan dan Undang-undang Komersial Victoria University of Wellington, New Zealand, Prof. Madya Dr. David White pula berkata, kerajaan New Zealand berhadapan tiga tahun pertama paling mencabar dalam melaksanakan VAT pada 1986 dengan kadar permulaan sebanyak 10 peratus sebelum meningkat kepada 15 peratus pada masa ini.

Beliau berkata, cukai New Zealand sangat komprehensif, meliputi semua perkara dan mempunyai nilai ambang yang sangat rendah.

Bagi Pensyarah Ekonomi University of Exeter Business School, United Kingdom (UK), Prof. Madya Simon James pula, kerajaan negara itu mengambil langkah berhati-hati dalam memperkenalkan VAT dengan mengambil masa setahun untuk memberi khidmat nasihat kepada orang ramai tentang pelaksanaan cukai itu pada 1973.

Bercakap tentang kadar VAT bagi produk pertroleum katanya, cukai ke atas penggunaan bahan bakar dan tenaga berkurangan lapan peratus pada 1994 dan menurun sehingga lima peratus pada 1997 yang mana kadar ini turut digunakan untuk bidang-bidang lain seperti bahan penjimatan tenaga bagi penebat rumah.

Dalam pada itu, Penasihat Jabatan Hal Ehwal Fiskal Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kiyoshi Nakayama berkata, pelaksanaan sistem cukai itu dapat membantu Malaysia menyediakan ruang pertumbuhan fiskal untuk menghadapi tempoh mencabar pada masa depan.

Beliau juga menyifatkan, langkah kerajaan Malaysia melaksanakan GST amat tepat pada masanya dan mendorong kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan.

“Kami (IMF) sentiasa menasihati negara-negara anggota supaya melaksanakan GST secepat mungkin kerana langkah ini merupakan satu mekanisme terbaik untuk memacu ekonomi negara. Bagaimanapun, perkara ini terpulang kepada negara terbabit terutama dari segi keadaan politik,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia juga boleh mengambil contoh terbaik daripada pelaksanaan VAT di negara jiran iaitu Singapura, Thailand dan Indonesia.

Bagi Singapura, pelaksanaan GST secara berkesan dapat membantu kerajaan menurunkan cukai pendapatan individu dan korporat.

Menurut Pengarah Cukai Badan Penguatkuasa Perolehan Singapura, Hoe Ee Hui, kerajaan Singapura memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan agresif daripada pelaksanaan cukai tersebut sejak diperkenalkan 20 tahun lalu.

Antara pengagihan semula yang dicapai ialah peningkatan subsidi untuk mengimbangi GST perlu dibayar, kepada pendidikan dan pengenalan Faedah Pengangguran Automatik, langkah menaikkan gaji bagi kumpulan pekerja berusia dan golongan berpendapatan rendah.

Di Indonesia pula, pelaksanaan VAT menyumbang 40 peratus kepada pertumbuhan ekonomi Indonesia dengan kadar tarif sebanyak 10 peratus.

Pelaksanaan VAT di Thailand turut menyaksikan satu pembaharuan dari segi penggunaan sistem pengkomputeran sepenuhnya dengan mewajibkan nombor pengenalan pada kedua-dua invois penjual dan pembeli untuk mengelakkan penipuan dalam sistem cukai.

Advertisements