LGBT: Pihak Berkuasa Agama Negeri Perlu Buat Rayuan Di Mahkmah Persekutuan – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyarankan Pihak Berkuasa Agama Negeri membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung isu transgender – lelaki Islam berpakaian seperti wanita.

image

Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Jamil Khir berkata, langkah itu (rayuan) bagi menjaga kepentingan agama Islam, selain ia melibatkan kewibawaan Pihak Berkuasa Agama Negeri.

“Ia juga untuk menunjukkan ketegasan pihak berkuasa agama Islam negeri dalam membendung aktiviti yang cenderung kepada amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Panel tiga hakim mahkamah tersebut memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman difailkan tiga lelaki Islam yang bekerja sebagai jurumekap pengantin iaitu Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30; bagi diisytiharkan Seksyen 66 adalah tidak sah di sisi perlembagaan.

Jamil Khir berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan akan memohon untuk mencelah dalam prosiding ini dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan kelak.

Advertisements