Laporan Audit Negara: Sembilan Pejabat Perwakilan Malaysia Tidak Mematuhi Peraturan Aset Dan Stor

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Sembilan pejabat perwakilan Malaysia di luar negeri didapati tidak mematuhi sepenuhnya peraturan pengurusan aset dan stor yang ditetapkan Kementerian Luar.
image

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3, yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, pengauditan dijalankan di 10 pejabat perwakilan Malaysia, namun hanya satu pejabat yang mematuhi peraturan itu iaitu Kedutaan Besar Malaysia di Bucharest, Romania.

Sembilan pejabat yang gagal mematuhi peraturan itu ialah Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria; Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Ottawa, Kanada; Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Papua New Guinea dan Kedutaan Besar Malaysia di Algires, Algeria.

Pejabat yang lain ialah Kedutaan Besar Malaysia di Brasilia, Brazil; Kedutaan Besar Malaysia di Caracas, Venezuela; Kedutaan Besar Malaysia di Dili, Timor Leste; Kedutaan Besar Malaysia di Sarajevo, Bosnia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Vancouver, Kanada.

“Kesemua sembilan pejabat perwakilan itu belum mematuhi sepenuhnya peraturan berkaitan urusan pendaftaran aset, pelabelan aset, penyimpanan aset, pemeriksaan aset, penyelenggaraan buku log kenderaan rasmi dan pelupusan,” menurut laporan itu.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mengesyorkan kementerian meningkatkan pemantauan bagi memastikan urusan tersebut dilaksanakan selaras dengan peraturan yang ditetapkan.

Kementerian perlu memastikan setiap pejabat perwakilan mematuhi aspek penting berhubung pengurusan aset dan stor seperti mendaftar dan melabel aset, menyimpan aset dengan teratur, melaksanakan pemeriksaan serta pelupusan aset dengan sempurna.

“Bagi tujuan tersebut, pegawai yang terlibat dengan pengurusan aset perlu diberi latihan dan pendedahan yang secukupnya,” menurut laporan itu.

Selain itu, laporan itu juga memaklumkan keselamatan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Dili, Timor Leste perlu diberi perhatian disebabkan terdapat kerosakan teruk pada pagar kedutaan itu.

Laporan itu menyebut, pihak kedutaan telah menghubungi pemilik bangunan berhubung kerosakan tersebut, namun sehingga pengauditan selesai dijalankan pada September 2013, tiada sebarang tindakan susulan diambil.

Pihak audit berpendapat tindakan segera perlu diambil pejabat perwakilan dan kementerian dalam memastikan bangunan hak milik kerajaan diberi perlindungan sewajarnya bagi menjaga imej kerajaan Malaysia di luar negara.

Advertisements