Lelaki Yang Menyerupai Perempuan Atau Sebaliknya Dilaknati Allah – Mufti Pahang

KUANTAN, 11 Nov – Lelaki yang menyerupai perempuan ataupun sebaliknya perempuan menyerupai lelaki merupakan perbuatan dilaknat Allah yang jelas menunjukkan perkara itu haram dalam Islam, kata Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman.

image

“Kalau lelaki menyerupai perempuan, kita halalkan, ertinya kita telah menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah.

“Hukumnya orang yang bercakap begitu kalau dia sedar dia boleh syirik kepada Allah, dia boleh terkeluar daripada Islam kerana dia telah mengubah hukum Allah ertinya tidak memperakui peraturan Allah,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Melainkan, katanya, golongan ‘khunsa muskhil’ yang dilahirkan dalam keadan dua sifat lelaki dan wanita yang boleh dinasihatkan berjumpa doktor bagi membuat pengesahan identiti mereka.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong supaya semua majlis agama Islam di negeri-negeri bersama-sama untuk mencelah dalam rayuan kerajaan Negeri Sembilan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan bahawa undang-undang jenayah syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki berpakaian wanita di tempat awam, melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Pada Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa golongan lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah dan tidak sah di sisi Perlembagaan.

Panel tiga hakim mahkamah itu yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membuat ketetapan tersebut selepas membenarkan rayuan tiga lelaki yang bekerja sebagai mak andam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan yang menolak semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang syariah itu.

Advertisements