PAC Saran Kerajaan Ambil Tindakan Teradap Panel Penilai – Nur Jazlan

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyarankan kerajaan mengambil tindakan terhadap panel penilai yang terbabit dalam pemilihan teknologi dan perancangan projek lima loji insinerator di seluruh negara.

image

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata PAC mendapati Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) gagal menjalankan tanggungjawab meneliti cadangan pemilihan teknologi oleh XCNT yang bernilai lebih RM200 juta.

“Jawatankuasa Penilaian Teknologi Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan hanya menilai teknologi ini berdasarkan cadangan kertas saja tanpa membuat lawatan tapak kepada projek perintis di Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, Perwaja Steel dan prototaip di UiTM Shah Alam.

“Justeru kementerian hendaklah mengambil tindakan sewajarnya terhadap kecuaian Ketua Setiausaha KPKT, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), kontraktor XCN Tecnology Sdn Bhd (XCNT) dan pakar dari UTM yang mengakibatkan loji insinerator gagal disiapkan dan tidak beroperasi mengikut spesifikasi dan tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Parlimen di sini, sebentar tadi.