Perunding Kewangan Didakwa Atas Kesalahan Membantu ISIS

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Seorang perunding kewangan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Selasa atas pertuduhan mencari harta bagi manfaat kumpulan militan IS melalui blog Revolusi Islam.com sejak Mac lepas.

image

Rohaimi Abd Rahim, 37, didakwa melakukan perbuatan itu di No.5B, Jalan Raja Ali, Kampung Baru di sini antara 29 Mac hingga 13 Okt lepas.

Seorang lagi tertuduh, penjual kereta Muhamad Fauzi Misrak, 34, didakwa bersubahat bersama Rohaimi atas tuduhan sama dengan membenarkan akaun Maybank miliknya digunakan dalam blog Revolusi Islam sebagai medium mencari harta bagi manfaat IS pada masa dan tempat sama.

Rohaimi dan Muhamad Fauzi didakwa mengikut Seksyen 130G (c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan mereka hanya mangangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Mahkamah menetapkan 19 Dis untuk sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar. Rohaimi diwakili peguam Abdul Halem Mohamad Husin manakala Muhamad Fauzi tidak diwakili peguam.

Advertisements