Speaker Dewan Rakyat Arah Ahmad Maslan Serah Dokumen 1MDB

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan supaya mengemukakan semua dokumen berhubung surat sokongan kerajaan kepada pemegang bon melibatkan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah AS$3 bilion kepada Parlimen.

image

Dokumen-dokumen itu diperlukan bagi menentukan sama ada Ahmad telah mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu itu seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli.

“Saya boleh menolak isu ini dengan memutuskan bahawa timbalan menteri tidak ada niat untuk mengelirukan Parlimen. Saya boleh buat keputusan sekarang, tetapi ia mungkin tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu,” kata Pandikar ketika persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu, Pandikar turut memberi jaminan kepada Rafizi bahawa beliau akan membuat keputusan berhubung perkara berkenaan secepat mungkin.

Terdahulu, Rafizi cuba mengheret Ahmad ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataannya bahawa 1MDB tidak menerima surat sokongan untuk bon berkenaan.

Bagaimanapun, Ahmad menerusi kenyataannya menjelaskan bahawa surat sokongan dikeluarkan kerajaan kepada pemegang bon melibatkan hutang 1MDB berjumlah AS$3 bilion sama sekali bukan jaminan kerajaan.

Advertisements