Hadi Awang Akui Alami Masalah Kesihatan

PETALING JAYA, 13 Nov – Akhirnya isu ketiadaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam beberapa siri mesyuarat pakatan pembangkang terjawab apabila Presiden PAS itu sendiri mengakui mengalami masalah kesihatan.

image

“Rasa tak berapa sihat sikit sejak akhir-akhir ini. Suara pun tak berapa nak keluar,” katanya kepada Harakah Daily di Parlimen pada Selasa.

Lidah rasmi PAS itu turut melaporkan bahawa Abdul Hadi kelihatan tidak selesa ketika membahaskan Bajet 2015 di Parlimen pada pagi Selasa.

Malah ketika berucap di Dewan Rakyat, suara Abdul Hadi dikatakan sering tersekat-sekat dan beliau hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk berbahas.

Selain itu, Abdul Hadi turut mengakui beliau terpaksa mengehadkan aktiviti ceramah pada waktu malam.

“Malam ini pun tak ada program, saya perlu berehat,” katanya.

Media pada Rabu melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terus mendesak Abdul Hadi supaya menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang akan datang.

Katanya, mereka sanggup menunggu sehingga beliau boleh menghadiri mesyuarat tersebut.