Urusniaga Jualan Tanah Oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang Meragukan – Jahara Hamid

PULAU PINANG 12 Nov – Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mendakwa keputusan Kerajaan DAP Pulau Pinang menjual tanah seluas 48 hektar (102 ekar) di Bayan Mutiara kepada sebuah syarikat pemaju pada harga yang sangat murah menyebabkan negeri ini ‘hilang’ hasil sebanyak RM800 juta.
image

Sambil mendakwa urusan berkenaan berlangsung dalam keadaan meragukan dan mempunyai unsur ‘skandal’, Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid ketika sidang akhbar menggesa Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi penjelasan terperinci.

Sebelum itu, sewaktu sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-Teluk Bahang) mendedahkan tanah berkenaan dijual pada harga RM240 bagi sekaki persegi.

Katanya, harga itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan harga jualan sebuah syarikat swasta yang memiliki tanah bersebelahan dan menjualnya pada nilai RM420 sekaki persegi.

“Urus niaga oleh kerajaan negeri berlangsung pada 25 Julai 2011 dan syarikat swasta itu pula menjual lebih awal iaitu pada Mei tahun sama. Jadi, mengapa harga tanah itu jadi murah,” katanya di sini hari ini.

Menurut Shah Headan Ayoob, keputusan berkenaan menyebabkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kehilangan ‘peluang’ dan beliau turut mempersoalkan sama ada Kerajaan DAP Pulau Pinang telah mendapatkan khidmat juru runding hartanah untuk mengetahui nilai sebenar tanah di situ.

Beliau berkata, jika harga jualan yang ditawarkan itu dibuat selepas mendapatkan masihat juru runding, nilai jualan berkenaan tidak masuk akal serta perlu dijelaskan kerana membabitkan wang rakyat.

“Selama ini, kerajaan negeri sering melaungkan prinsip ketelusan dan cekap tetapi ia tidak dilaksanakan dalam hal ini malahan seolah-olah telah dimanipulasikan oleh sebuah syarikat swasta disebabkan perjanjian jualan yang bersimpang-siur,” katanya.

Pada ketika ini, tiada seorang pun wakil penyokong Kerajaan DAP Pulau Pinang bangun menyanggah hujah berkenaan walaupun sebelum itu R.S.N Rayer dan Wong Hon Wai bertalu-talu membangkitkan isu isteri Perdana Menteri.

Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid kemudiannya mencelah dengan mendakwa, perjanjian itu bukan sahaja meragukan malahan kaedah pembayaran yang dipersetujui juga memakan masa yang panjang.

“Saya juga mahu tahu sama ada perjanjian tempoh bayaran itu dipatuhi atau sebaliknya,” katanya.