Ahmad Maslan Serah Dokumen 1MDB Pada Parlimen

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata beliau telah menyerahkan dokumen kepada Parlimen untuk membuktikan bahawa kerajaan tidak mengeluarkan surat jaminan untuk menjamin RM9.6 bilion hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didakwa pembangkang.

image

Beliau berkata dokumen itu diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini.

Sehubungan itu, katanya Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli juga perlu berbuat demikian bagi menyokong dakwaannya.

“Saya telah menyerahkan dokumen bahawa RM9.6 bilion itu tidak dijamin oleh kerajaan.

“Namun menurut Speaker, beliau masih lagi mahu menunggu dokumen pembangkang. Oleh itu, isu ini K.I.V (simpan dalam perhatian) sehingga dokumen yang beliau inginkan daripada Rafizi diperolehi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Isnin.

Sebelum ini, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR memaklumkan akan merujuk Ahmad kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan 80A kerana tuduhan mengelirukan Dewan Rakyat.

Rafizi tidak hadir pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mengeluarkan surat jaminan untuk menjamin lebih daripada RM5.8 bilion hutang 1MDB.

Beliau berkata kerajaan mengakui ada mengeluarkan surat sokongan, namun ia tidak menjamin hutang RM9.6 bilion tersebut.

“Walaupun kerajaan menyatakan akan campur tangan apabila 1MDB tidak mampu membayar hutangnya, namun melihat kepada jumlah aset yang dimiliki oleh 1MDB sebanyak RM51 bilion, tentulah 1MDB mampu membayar RM9.6 bilion bon tersebut.

“Oleh kerana itu, saya beranggapan bahawa pihak pembangkang tidak dapat untuk berdiri atas kenyataan atau tuduhan mereka,” katanya.

Ahmad juga berkata beliau masih berpegang bahawa kenyataannya sebagai benar dan tidak bertujuan mengelirukan Dewan Rakyat.