BR1M Adalah Aku Jaji BN Kepada Rakyat – Ahmad Maslan

PORT DICKSON, 17 Nov – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebenarnya adalah aku janji Barisan Nasional (BN) dalam manifesto pilihan raya untuk dilaksanakan bermula tahun 2014 sehingga 2018, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

image

Sehubungan itu, katanya, aku janji itu tidak boleh ditarik balik dan perlu diteruskan.

“…dan kita juga berjanji bukan hanya untuk meneruskan bayaran BR1M ini selama lima tahun tetapi meningkatkan bayarannya dari setahun ke setahun, sehinggalah RM1,200 pada tahun yang kelima. Sekarang ini sampai ke RM950 untuk tahun 2015,” jelas beliau.

Ahmad, yang juga Ketua Penerangan Umno, ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia dan taklimat CBP untuk kakitangan TM di sini, Ahad.

Katanya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, kaedah beliau untuk menggerakkan sektor ekonomi ialah dengan memberi rangsangan projek kepada kontraktor kelas F pada ketika itu.

Beliau berkata kaedah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjana ekonomi pula ialah dengan memberi bantuan kepada rakyat dan rantaian ekonomi yang memberi kesan berganda.

“Jadi, BR1M bukan rasuah seperti dakwaan sesetengah pihak. Kalau rasuah kita hanya beri sekali sebelum pilihan raya…..yang ini kita beri setiap tahun,” katanya.