ISMA Selar Tindakan Kerajaan Negeri Kelantan – Abdullah Zaik

PETALING JAYA, 17 Nov – Pertubuhan bukan kerajaan Islam, menyelar tindakan kerajaan Kelantan berhubung cadangan untuk menggunakan gilotin sebagai peralatan untuk memotong anggota badan mereka yang melakukan jenayah mencuri di bawah undang-undang jenayah hudud di negeri itu.

image

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata kerajaan negeri bebas menggunakan sebarang alat atau mesin untuk melaksanakan hukuman tersebut, namun beliau memberi amaran, bahawa ia akan merosakkan imej Islam sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan betul.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan The Star yang memetik pengerusi jawatankuasa teknikal hudud Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah sebagai berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan menggunakan gilotin kepada mesyuarat panel jawatankuasa yang akan diadakan.

Pejabat Mohd Amar dalam satu temu bual melalui telefon bagaimanapun menegaskan cadangan yang dikemukakan itu bukanlah datang secara langsung daripada timbalan menteri besar Kelantan itu.

Abdullah Zaik berkata Kelantan seharusnya menjalankan kajian yang menyeluruh terhadap cadangan yang dikemukakan itu, bagi memastikan objektif perundangan Islam dapat dipenuhi tanpa memberi kesan negatif terhadap agenda Islam secara keseluruhannya.

“Kelantan harus mengadakan perbincangan yang mendalam bersama dengan kerajaan Persekutuan serta mendapatkan nasihat teknikal dalam hal perundangan, kerana negeri mempunyai bidang kuasa yang terhad,” katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Muhammad turut bersetuju bahawa kerajaan Kelantan perlu melakukan kajian yang mendalam dalam isu berkenaan termasuk mengadakan lawatan ke negara yang telah melaksanakan undang-undang jenayah hudud bagi memastikan kaedah terbaik dalam melaksanakan hukuman ke atas pencuri yang didakwa di bawah undang-undang tersebut.

Muhammad Shukri berkata pihak berkuasa harus mempelajari dengan teliti kaedah yang diguna pakai di Arab Saudi, sebelum menentukan cara terbaik bagi melaksanakan hukuman penalti tersebut.

“Setakat apa yang saya tahu, jawatankuasa tersebut sedang meneliti pindaan Kod Jenayah Syariah II 1993 yang membincangkan kaedah pelaksanaan dan mereka akan berlepas ke luar negara untuk melawat negara yang melaksanakan undang-udang hudud bagi meluaskan idea serta pemikiran. Saya yakin ini merupakan jalan terbaik untuk dilakukan ketika ini,” katanya.

Advertisements