Berpuluh-puluh Rasuah Balak Di Sarawak Tiada Tindakan

MIRI, 19 Nov – Berpuluh-puluh laporan dikemukakan kepada pelbagai agensi penguatkuasaan dan pencegahan rasuah berhubung industri pembalakan di utara Sarawak, namun hanya sebilangan kecil daripadanya diambil tindakan.

image

Menurut pengadu, pihak berkuasa dilihat seolah-olah tidak mengendahkan aduan yang dibuat berhubung aktiviti pembalakan haram dan amalan rasuah dalam aktiviti tersebut.

Kumpulan hak asasi manusia daripada masyarakat luar bandar di Sarawak memuji Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem kerana bertindaka tegas menentang amalan rasuah dalam industri pembalakan.

Bagaimanapun mereka mempersoalkan mengapa Jabatan Perhutanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis tidak bertindak ke atas laporan-laporan yang dikemukakan oleh masyarakat orang asli di sini sejak bertahun-tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Orang Ulu Kebangsaan Bahagian Miri, Peter Kallang berkata, beliau membuat sekurang-kurangnya lima laporan masing-masing kepada SPRM dan polis di Miri mengenai pembalakan haram dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu.

“Selain SPRM dan polis saya juga telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Perhutanan untuk memberitahu mereka tentang pembalakan haram di Baram terutama di kawasan hutan di tapak cadangan pembinaan Empangan Baram di Long Kesseh.

“Saya juga telah sertai pemimpin dari beberapa persatuan hak asasi manusia dan alam sekitar apabila mereka membuat laporan kepada SPRM dan polis mengenai pembalakan haram dan menceroboh tanah pribumi.

“Secara keseluruhannya terdapat berpuluh-puluh laporan di seluruh utara Sarawak terhadap pembalakan haram dibuat oleh kumpulan hak asasi manusia, alam sekitar dan penduduk kampung serta individu. Tetapi sehingga hari ini, tiada satu pun daripada laporan-laporan ini disiasat oleh pihak polis, SPRM atau Jabatan Perhutanan,” katanya.

Kallang berkata demikian bagi mengulas mengenai usaha Adenan untuk memerangi rasuah termasuk menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bagi agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam sektor perhutanan Sarawak.

“Walaupun kami memuji Tan Sri Adenan untuk sikap tegasnya terhadap amalan rasuah, tapi hakikatnya ialah amalan tipu muslihat telah berlaku sejak bertahun-tahun.

“Dalam kes saya pihak berkuasa seperti polis dan SPRM serta Jabatan Perhutanan tidak pernah menemubual saya untuk mendapatkan maklumat lanjut walaupun banyak laporan dikemukakan kepada mereka,” katanya.

Advertisements