Gesaan Wanita UMNO Untuk Wujudkan Jawatan Naib Presiden Dapat Sokongan Padu Pemimpin Senior

PETALING JAYA, 19 Nov – Gesaan Wanita Umno untuk mewujudkan kerusi keempat jawatan Naib Presiden Umno yang hanya akan ditandingi oleh wanita mendapat sokongan padu pemimpin senior di kalangan kaum itu dalam Umno.

image

Bagaimanapun cadangan itu mendapat tentangan daripada pemimpin lelaki dalam parti itu yang tidak melihat keperluan untuk mewujudkan satu kerusi jawatan naib presiden khusus untuk wanita.

Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Rosni Zahari berkata, cadangan itu sebelum ini mendapat sokongan hebat sebanyak 89 peratus atau 171 daripada 192 bahagian Wanita Umno di seluruh negara.

“Resolusi itu tidak akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini tetapi ia telah dikemukakan kepada Majlis Tertinggi untuk pertimbangan,” kata Rosni yang juga Ketua Wanita Umno Pahang.

Walau bagaimanapun ketua bahagian Umno yang kesemuanya adalah lelaki kecuali Ketua Umno Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, telah menimbulkan kebimbangan mereka terhadap cadangan itu semasa pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.

Mereka berkata, cadangan itu hanya akan mewujudkan ‘dua kapten wanita dalam satu kapal’.

Seorang kapten pastinya adalah Ketua Wanita Umno dan seorang lagi ialah sesiapa yang menduduki jawatan naib presiden.

“Tak mengapa jika mereka boleh kerja bersama. Tetapi bagaimana jika mereka tidak boleh bersama? Ketua Wanita Umno akan mempunyai tenteranya sendiri dan naib presiden wanita tentunya juga akan mempunyai tentera yang tersendiri.

“Dua wanita memimpin dalam satu kapal, kapal itu boleh terbelah dua,” kata Ketua Bahagian Umno Temerloh, Datuk Shakar Shamsuddin.

Pada masa ini Umno mempunyai tiga jawatan naib presiden yang dipilih dan jawatan itu sentiasa dipegang oleh lelaki.

Tidak ada pemimpin wanita yang pernah cuba bertanding jawatan itu walaupun tiada halangan dari segi jantina.

Namun berdasarkan Perlembagaan Umno, pemimpin tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri mempunyai status sebagai naib presiden.

Cadangan ini adalah hasil cetusan idea Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang melihat ia sebagai pengiktirafan kepada sayap itu yang menjadi tulang belakang parti.

“Kami akan terus berusaha untuk merealisasikan cadangan ini walaupun bukan pada tahun ini. Idea seperti ini pastinya akan mengambil masa,” kata Ketua Wanita Umno Bukit Bintang, Senator Mariany Mohd Yit.

Dalam pada itu Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang bagaimanapun berpendapat, daripada lebih banyak jawatan di bahagian atas disandang oleh wanita, Wanita Umno perlu berjuang untuk menduduki jawatan di peringkat ahli majlsi kerajaan tempatan dan ketua kampung.

” Jawatan naib presiden adalah idea yang baik tetapi ia akan menjadi lebih bermakna untuk memperkasakan wanita di peringkat akar umbi.

“Lebih ramai wanita akan mendapat manfaat dan mereka akhirnya boleh bergerak sehingga jawatan yang lebih besar,” kata Azalina.

Advertisements