SYABAS Henti Penerimaan Bayaran Bil Air Di Kaunter Milik TM Dan Ejen

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak lagi menerima pembayaran bil air melalui kaunter pembayaran milik Telekom Malaysia Berhad (TM) termasuk mana-mana ejen lantikannya bermula 1 Disember.

image

Syabas dalam kenyataan pada Selasa turut memaklumkan bahawa pihaknya juga tidak akan menerima pembayaran bil telefon TM di semua kaunter perkhidmatannya mulai tarikh yang sama.

Bagaimanapun pengguna masih boleh melakukan pembayaran bil melalui pelbagai saluran pembayaran sama ada secara tunai, cek atau perbankan internet di agensi kutipan sah lantikan Syabas yang lain, seperti biasa.

Dalam pada itu, Syabas juga menasihati pengguna agar membuat pembayaran bil air mengikut tempoh yang ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan pemotongan bekalan.

Maklumat lanjut mengenai senarai agensi kutipan rasmi dan saluran pembayaran alternatif bagi kemudahan pengguna, boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas iaitu PUSPEL di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau menerusi laman Twitter dan Facebook.

Advertisements