Kenyataan Media: Isu Penagkapan Nelayan Malaysia Oleh Pihak Berkuasa Indonesia

KENYATAAN MEDIA OLEH YB DATO’ SRI ANIFAH HJ AMAN, MENTERI LUAR NEGERI MENGENAI DAKWAAN SERTA ISU PENANGKAPAN NELAYAN MALAYSIA OLEH PIHAK BERKUASA INDONESIA DI PERAIRAN INDONESIA

Beberapa Media Tempatan pada 19 November 2014, telah melaporkan bahawa pihak berkuasa Indonesia telah menahan seramai 200 orang nelayan Malaysia yang didakwa telah menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia.

image

Menurut laporan tersebut, Setiausaha Kabinet, Andi Widjajanto, menyatankan bahawa penangkapan ini adalah sebahagian daripada operasi mencegah penangkapan ikan secara haram oleh pihak berkuasa Indonesia yang bermula semenjak 17 November 2014.

Sehingga kini, Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan Malaysia di Indonesia masih belum menerima sebarang notis konsular secara rasmi dari pihak Indonesia berhubung penangkapan tersebut.

Kedutaan Besar Malaysia telah menghubungi Kementerian Luar Negeri Indonesia untuk mendapatkan pengesahan terutamanya mengenai maklumat pengenalan diri dan lokasi penahanan nelayan Malaysia tersebut.

Sekiranya mereka disahkan rakyat Malaysia, bantuan konsular sewajarnya akan dihulurkan.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga telah tidak menerima sebarang notis penangkapan nelayan Malaysia daripada pihak berkuasa Indonesia.

Kementerian Luar Negeri dan APMM sedang memantau perkembangan mengenai isu penahanan nelayan Malaysia ini.

Malaysia dan Indonesia telah menandatangani “MOU In Respect of the Common Guidelines Concerning the Treatment of Fishermen by Maritime Law Enforcement Agencies of Malaysia and the Republic of Indonesia” pada 27 Januari 2012.

Menerusi MOU tersebut, kedua-dua negara telah mencapai kesepakatan untuk hanya mengusi
dan tidak menangkap nelayan-nelayan yang didapati menangkap ikan di persempadanan maritim Malaysia-Indonesia.

Mengenai dakwaan bahawa Presiden Jokowi telah dipetik sebagai berkata ‘memberi arahan supaya kapal-kapal nelayan asing yang memasuki perairan Indonesia secara haram dikaramkan manakala anak kapal diselamatkan sebagai amaran keras kepada nelayan-nelayan tersebut’, saya tidak percaya bahawa ini adalah suatu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh seorang Presiden dan akan menyiasat dakwaan ini.

Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan isu ini dan sentiasa bersedia memberikan khidmat dan bantuan konsular bagi menjaga kebajikan dan keselamatan warganegara Malaysia di luar negara.

MENTERI LUAR NEGERI
Putrajaya

21 November 2014

Advertisements