Pemuda UMNO Minta Perwakilan Bawa Suara Sederhana Dan Hujah Berkualiti

PETALING JAYA, 25 Nov – Pergerakan Pemuda Umno meminta supaya perwakilan sayap parti dapat membawa suara kesederhanaan menerusi hujah berkualiti dan kritis pada Perhimpunan Agung Umno kali ini.

image

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya menolak golongan ekstrem dengan menegaskan pendekatan kesederhanaan.

“Kita menolak ekstremisme dalam apa jua bentuk, jangan sampai kita menidakkan hak orang lain.

“Kita bercakap soal progresif dalam mencari penyelesaian. Jadi yang penting, suara-suara (perwakilan) Pemuda Umno dapat membawa suara kesederhanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengenai harapan beliau terhadap persidangan Pergerakan Pemuda Umno sempena Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung dari 25 hingga 29 November ini.

Khairul Azwan yakin perwakilan sayap Pemuda Umno akan menampilkan kelainan kali ini dengan hujahan dan perbahasan yang berkualiti, panas dan kritis.

“Ia juga diharapkan dapat menjadi ‘wake up call’ untuk semua pemimpin dan ahli parti,” katanya.

Tambahnya, beliau dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengambil sikap terbuka sekiranya terdapat pembahas melemparkan kritikan sewaktu persidangan berlangsung.

“Kami ambil sikap keterbukaan yang tinggi. Jika saya mahu mengkritik orang lain, saya juga perlu sedia terima kritikan orang lain,” katanya.

Beliau turut berharap supaya pembahas dapat berhujah dengan baik, menerusi hujahan yang boleh menambah nilai perjuangan Umno terutama dalam meremajakan parti.

Beliau berkata, bagi mendepani suara anak-anak muda hari ini, proses meremajakan parti mesti dilakukan dengan mengetengahkan lebih ramai pemimpin muda dalam barisan pembuat dasar dan pelaksana.

“Ini supaya orang-orang muda boleh dapat melihat bahawa pimpinan Umno bersungguh-sungguh untuk meremajakan parti.

“Kita melihat proses meremajakan parti ini masih lagi retorik jadi sampai waktu kita berani angkat suara anak muda. Mahasiswa sudah pun mula bersuara jadi kita kenal ambil serius,” tambahnya.

Advertisements