Kerajaan Diminta Untuk Hapuskan Penggunaan Surat Sokongan – Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Kerajaan disaran menghapuskan pekeliling yang menghalang penggunaan surat sokongan dalam urusan membabitkan jabatan kerajaan.

image

Perwakilan Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, halangan penggunaan surat sokongan hanya akan menghakis minat rakyat khususnya orang Melayu terhadap Umno.

Katanya, sebagai sebuah parti yang menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN), surat sokongan kepada orang Melayu amat diperlukan bagi membantu memudahkan urusan untuk mendapatkan kontrak dan bantuan kebajikan.

“Kami harap yang atas sana (menteri kabinet) tolong batalkan pekeliling ini kalau nak lihat parti ini berjaya.

“Tolong batalkan serta-merta… kalau tidak parti ini dianggap tidak menguasai kerajaan,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno 2014 di sini, Khamis.

Selain itu Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, surat pekeliling itu ternyata merumitkan rakyat khususnya orang Melayu untuk memohon bantuan kerajaan yang disokong mereka.

“Saya pernah hadapi satu kes ketika hendak bantu seorang pelajar ditukarkan sekolah.

“Tapi akhirnya mereka berikan surat pekeliling kepada saya yang menyebut mengenai garis panduan dan tindakaan ke atas sokongan yang diterima daripada pemimpin kerajaan (menteri) atau individu berpengaruh atau mana-mana orang mengenai urusan kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, pekeliling itu dikeluarkan ketika Tan Sri Mohd Sidek Hassan menjadi Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Saya sebagai ahli parlimen pun dapat surat macam ini, bagaimana orang-orang lain yang tak ada apa-apa jawatan.

“Adakah ini maksud parti (Umno) kuasai kerajaan,” soalnya.

Advertisements