Muhyiddin Nafi Dakwaan Desak Najib Razak Kekalkan Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 dibuat atas desakannya.

image

Muhyiddin berkata, sebagai timbalan presiden, beliau bertanggungjawab memberitahu presiden Umno tentang keadaan sebenar mengenai isu tersebut.

“Apa yang saya katakan itu bukan desakan, itu peranan timbalan yang bertanggungjawab.

“Timbalan bertanggungjawab untuk mengemukakan apa saja yang saya dapat, hasil daripada penemuan dan perbincangan dengan banyak pihak supaya presiden dapat tahu kedudukan sebenarnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan timbalan presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas ada dakwaan bahawa pengumuman Najib, yang juga perdana menteri untuk mengekalkan Akta Hasutan ketika menyampaikan ucapan dasarnya, Khamis, dibuat selepas didesak Muhyiddin.

Muhyiddin yang mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Najib di atas keputusan itu dalam ucapannya berkata beliau berharap akta itu akan dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat.

Advertisements