Pelabur Malaysia Disaran Untuk Rebut Peluang Pelaburan Di Amerika Syarikat – Awang Adek

KOTA BAHARU, 3 Dis – Pelabur Malaysia disaran untuk merebut peluang membuat pelaburan ke Amerika Syarikat (AS) terutamanya dalam bidang industri makanan dan produk halal.

image

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata ramai yang tidak menyedari potensi besar dalam bidang tersebut yang berkemungkinan mereka tidak diberikan gambaran tepat mengenai keadaan sebenar untuk melabur ke negara itu.

“Rakyat negara ini jangan sangat memikirkan kononnya Amerika Syarikat itu jauh dan sukar untuk membawa produk mereka ke sana tetapi sebenarnya potensi untuk mereka berjaya di negara itu adalah sangat besar.

“Pasaran mereka di sana adalah luas dan merata-rata. Paling penting produk eksport itu perlu dalam volume yang besar dan mutu barangan yang konsisten dan jika ini dapat dibuat, mereka boleh berjaya di sana,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan mengadakan pertemuan dengan pelajar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di sini, pada Selasa.

Awang Adek berkata para pelabur perlu mengetahui cara sebenar bagaimana produk mereka boleh dipasarkan ke negara berkenaan yang amat mementingkan mutu, kualiti dan aspek kesihatan.

“Saya diberitahu ada pihak yang akan membuka pusat rujukan di sini bagi membolehkan pelabur kita mengetahui apakah produk mereka itu boleh dipasarkan ke sana atau tidak.

“Pusat ini bagus yang saya rasa boleh dimanfaatkan oleh rakyat negara luar bagi tujuan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata sebagai contoh durian klon musang king di sana turut mendapat pasaran baik dengan harga yang dijual adalah tinggi dan ia mampu memberikan pulangan baik kepada pengeksport.

“Kalau tahu undang-undang dia cukup senang untuk melabur ke sana. Yang berjaya di sana memang cukup banyak,” katanya.

Sementara itu beliau berkata Malaysia begitu dikagumi kerajaan AS dan juga negara luar yang lain berdasarkan kepada tahap kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi dalam negara yang berbilang kaum.

“Malaysia adalah contoh dan cerita berjaya kepada mereka. Selain kemakmuran itu, suara Malaysia di seluruh dunia adalah dihormati apatah lagi kita telah menduduki salah satu kerusi keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Pengerusi Asean pada tahun hadapan,” katanya.