Kerajaan Akan Ambil Langkah Untuk Ringankan Beban Rakyat Sekiranya Harga Minyak Terus Meningkat – Najib Razak

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Kerajaan akan mengambil langkah bagi meringankan beban rakyat sekiranya harga minyak dunia meningkat dengan mendadak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
image

Perdana Menteri berkata menerusi langkah pengapungan terkawal harga minyak yang diambil kerajaan kini, sistem itu lebih memberi manfaat kepada rakyat kerana harga minyak di negara ini akan turun mengikut harga pasaran minyak dunia.

“Langkah apungan terkawal harga minyak diambil oleh kerajaan kerana harga minyak mentah dunia telah menurun ke paras di mana subsidi tidak diperlukan,” katanya dalam siaran radio laman blognya http://www.najibrazak.com Jumaat.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pemansuhan subsidi pukal minyak itu akan mengelakkan negara kerugian berbilion ringgit akibat daripada aktiviti penyeludupan dan pembelian minyak oleh warga asing yang tidak layak menerima subsidi yang ditanggung pembayar cukai.

“Mekanisme apungan terkawal ini akan membawa penjimatan yang besar kepada kerajaan, dan penjimatan ini bakal disalurkan semula kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Pada 21 November lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember.

Bermula dari tarikh berkenaan, tiada lagi subsidi bagi kedua-dua bahan bakar itu memandangkan harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam.

Pada Isnin lepas, harga runcit RON97 turun sebanyak sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter manakala harga runcit diesel dinaikkan kepada tiga sen seliter kepada RM2.23 seliter.

Advertisements