Jumpa Ibrahim Ali Di Mahkamah – CEO The Star

PETALING JAYA, 13 Dis – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai tidak akan mengalah dalam tuntutan mahkamah yang dikemukakan Datuk Ibrahim Ali.

image

“Saya akan jumpa dia di mahkamah,” kata Chun Wai yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Star Publication (M) Bhd sebagai maklum balas kepada kenyataan Pengerusi Perkasa yang memaklumkan akan meneruskan dengan tindakan undang-undang terhadapnya.

“Tiada siapa boleh menghentikan suara kesederhanan dan munasabah. Malaysia bukan tempat untuk golongan ekstrim,” katanya lagi.

Sebuah portal memetik Ibrahim sebagai berkata, maklum balas daripada notis tuntutan bertarikh 24 November yang dikirim kepada Chun Wai digambarkan umpama khutbah.

“Saya tidak kata dia salah, tetapi saya mahu mahkamah memutuskan bahawa kenyataannya bersifat fitnah,” kata Ibrahim.

Menerusi notis tuntutan itu, Ibrahim mendakwa artikel bertajuk “A mind-boggling spin” yang disiarkan The Star dan The Star Online pada 2 November mengandungi pernyataan fitnah terhadapnya.

Ibrahim mengeluarkan kenyataan berkaitan pembakaran bible pada Januari tahun lalu merujuk individu yang mengedarkan Bible yang mengandungi perkataan “Allah” kepada pelajar termasuk Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong, Pulau Pinang.

Pada 27 Oktober, dilaporkan tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap Ibrahim kerana mempertahankan kesucian Islam dan tidak berniat untuk mewujudkan ketegangan agama apabila menyebut mengenai pembakaran Bible yang mengandungi perkataan “Allah”.

Menerusi artikel Chun Wai yang disiarkan menerusi ruangan On The Beat, beliau mempersoalkan kenapa tiada tindakan dikenakan terhadap Ibrahim susulan kenyataannya itu.