Majikan Dan Ejen Yang Membawa Masuk PATI Akan Dikenakan Tindakan Tegas – Wan Junaidi

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Dalam usaha menyelamatkan Cameron Highlands daripada dicerobohi pendatang asing, pihak berkuasa perlu memberi perhatian secara holistik termasuk mengambil tindakan terhadap majikan atau ejen yang bersubahat dalam isu itu.

image

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, insiden di tanah tinggi itu bukan hanya difokuskan terhadap pendatang asing tanpa izin, malah majikan dan ejen yang membawa mereka masuk secara haram ke negara ini.

“Majikan yang membawa pekerja asing secara haram iaitu dengan melanggar undang-undang negara ini, akan diambil tindakan tegas,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan resolusi persidangan ‘Dilema Negara: Isu dan Cabaran Pekerja Asing di Malaysia’ anjuran Majlis Profesor Negara di sini, malam Selasa.

Dalam kejadian di Cameron Highlands pada 5 November lepas, lima orang terkorban dan lima lagi cedera dalam kejadian banjir dan tanah runtuh.

Wan Junaidi juga berkata selain itu, kerajaan negeri berkenaan juga perlu mengenal pasti ladang yang sah dan tidak sah, iaitu diterokai secara haram oleh pihak-pihak tertentu, bagi memudahkan pihak berkuasa untuk bertindak lanjut.

Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid menyerah resolusi yang mengandungi 13 perkara pokok yang dibincangkan pada persidangan itu kepada Wan Junaidi.

Persidangan dua hari itu bermula Isnin dan dianjurkan Majlis Profesor Negara.

Advertisements