PKR Desak PAS Supaya Tangguhkan Perlaksanaan Hukum Hudud Di Kelantan

PETALING JAYA, 18 Dis – PKR hari ini dilihat secara terbuka mendesak PAS supaya menangguhkan rancangan melaksanakan hudud di Kelantan, sebaliknya memberi fokus kepada permasalahan rakyat yang lebih “mendesak”.

image

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata pembangkang harus lebih bertumpu kepada isu-isu seperti kenaikan kos sara hidup dan rasuah dan bukannya hudud.

“Saya sedia maklum perbezaan pendapat di dalam Pakatan Rakyat kebelakangan ini terutamanya yang melibatkan cadangan pembentangan rang undang-undang persendirian untuk membolehkan pelaksanaan hudud oleh Kerajaan Kelantan,” kata Rafizi.

“Saya berpandangan keutamaan dan muafakat yang jelas perlu diberikan kepada isu-isu kebajikan rakyat yang mendesak terlebih dahulu,” tambah beliau dalam satu kenyataan.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR menggesa semua pemimpin Pakatan Rakyat kembali kepada “perjuangan membela kebajikan dan kepentingan rakyat bersabit isu-isu yang mendesak” yang disenaraikan  beliau.

Beliau mendakwa tumpuan kepada isu-isu berkenaan adalah strategi paling berkesan untuk menumpaskan Umno-Barisan Nasional.

Rafizi berkata PKR dan DAP akan mengkaji draf enakmen yang bakal dibentangkan oleh Kerajaan Kelantan sebelum sebarang komentar lanjut dibuat.

Beliau menggesa pemimpin PKR untuk berhati-hati di dalam membuat kenyataan mengenai polemik hudud supaya “tidak mengeruhkan lagi keadaan”.

Sebarang keputusan dan pendapat mengenai polemik ini perlulah merujuk kepada keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat, tambah Rafizi.

Polimik keputusan kerajaan Kelantan pimpinan PAS mahu melaksanakan hudud di negeri itu kembali panas apabila DAP menuntut PAS membatalkan hasrat itu sama sekali.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan perjuangan hudud yang didokong PAS akan merugikan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke 14.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat menyokong Guan Eng apabila menyifatkan hasrat PAS melaksanakan hudud di Kelantan sebagai “bermasalah.”

Semalam, ahli jawatankuasa Majlis Pimpinan PKR Lateefa Koyah membidas PAS kerana nekad mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Pucuk pimpinan PAS di pusat dan Kelantan bagaimanapun menegaskan kerajaan negeri tidak akan tersasar daripada melaksanakan undang-undang hudud itu secepat mungkin.