Harga RON95 Dan Diesel Dijangka Turun Dibawah Paras RM2 Seliter Mulai 1 Januari

REMBAU, 19 Dis – Harga runcit RON95 dan diesel dijangka turun di bawah paras RM2 seliter mulai 1 Jan ini, sekiranya harga minyak dunia kekal mengalami penurunan.

wpid-picsart_1417363803317.jpg

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata harga runcit berkenaan boleh dicapai kerana bagi 18 hari pertama bulan ini, harga purata minyak RON95 dan diesel jatuh di bawah paras RM2 seliter.

“Sekiranya harga minyak dunia terus mengalami penurunan selama tempoh 10 hari akan datang ini, saya yakin harga runcit RON95 dan diesel boleh ditetapkan pada harga di bawah RM2 seliter,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pada Majlis Penerangan dan Dialog Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) peringkat Parlimen Rembau di Pedas hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan Datuk Awaludin Said.

Buat masa ini, harga runcit RON95 ditetapkan pada harga RM2.26 seliter manakala harga runcit diesel pula dijual pada RM2.23 seliter.

Selaras dengan penurunan harga minyak, Ahmad juga berharap agar para peniaga dan syarikat dapat menurunkan harga barang jualan mereka.

“Saya berharap 10 syarikat utama ini, yang juga membekalkan 70-80 peratus barang makanan dalam Malaysia, hendaklah bertanggungjawab menurunkan harga barang jualan mereka,” katanya.

Beliau berkata sekiranya syarikat terbabit enggan menurunkan harga barangan mereka, ada pelbagai akta di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memastikan ia dilaksanakan.

“Kita amat kesal, kalau harga minyak naik sikit, terus naik (harga) serta merta, tetapi bila harga minyak sudah turun, tak ada (harga) turun sedikit pun,” katanya.

Berkenaan CBP, Ahmad berkata kerajaan sudah menjalankan 500 program penerangan sistem cukai baharu itu yang akan dilaksanakan April depan, di peringkat Parlimen di seluruh negara.

“Ada lebih kurang 400 program seumpama ini belum dilaksanakan.

“Jadi saya menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menyelesaikan kesemua program ini pada bulan Januari dan Februari ini, supaya semua (kawasan) Parlimen dapat difahamkan tentang CBP ini,” kata Ahmad.