DAP Telah Mencacat Dan Mencarik-robek Tahaluf Siyasi Dengan PAS – Haron Din

SHAH ALAM, 22 Dis – Hudud adalah nyawa PAS dan mustahil agenda itu akan digugurkan daripada perjuangan parti, kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din.

3Malah ujarnya, jika DAP terus-terusan mempertikai hudud ia akan ‘mengoyakkan’ syarat tahaluf siyasi (kerjasama politik) dalam Pakatan Rakyat.

“Apa yang dibuat DAP telah mencacat dan mencarik-robek tahaluf. Kalau terus-menerus demikian, maka DAP yang mengoyak kertas tahaluf kerana PAS tidak pernah mempertikai asas perjuangan DAP,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

“Mengapa sebelum ditubuhkan pakatan dulu tidak disebut? Mengapa baru sekarang? Nasihat saya kepada Guan Eng usahlah membuang masa menegur PAS kerana kami tidak akan mempedulikan kata-kata seperti itu. PAS tidak akan meninggalkan perjuangan ini (melaksana hudud di Kelantan),” katanya lagi.

Haron berkata demikian sebagai reaksi terhadap kelantangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan pelaksanaan hudud adalah penghinaan kepada Pakatan Rakyat.

Seminggu sebelumnya, Lim ketika Konvensyen Nasional DAP 2014 menggesa PAS menolak hudud jika mahu menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Jika tidak Pakatan Rakyat akan kehilangan banyak undi terutama di kalangan pengundi bukan Islam.

PKR pula dijangka mengadakan perbincangan hari ini di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, berhubung isu yang sama.

Ujar Haron lagi, keputusan PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan adalah muktamad dan mana-mana rakan komponen dalam Pakatan Rakyat tidak dapat mengubahnya.

“PAS tidak terbelenggu oleh komen lawan mahupun kawan. Hudud nyawa PAS dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang. Jika Guan Eng merasakan tidak selesa, maka carilah jalannya sendiri untuk keselesaan kerana hudud tetap diteruskan (di Kelantan),” ujarnya.

Bagi membuktikan kesungguhannya, Kelantan pada 29 Disember ini akan mengadakan sidang DUN khas bagi meminda Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Pindaan 2014), sebagai persiapan ke arah melaksanakan perundangan Islam itu.

Advertisements