Dunia Politik Pakatan Rakyat Tahun 2014 Di Penuhi Drama

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Tahun demi tahun, pakatan pembangkang yang terdiri daripada PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak mampu menyajikan keutuhan dan permuafakatan yang jitu dalam jalinan kerjasama mereka.

mole-Anwar-Ibrahim-Pakatan-Rakyat

Kerjasama politik yang dimeterai sejak 2008 ternyata tidak mampu membentuk kepercayaan yang tidak berbelah-bahagi dalam kalangan pemimpin ketiga-tiga parti itu, malah pergeseran dan pertentangan di kalangan pemimpin yang diserlahkan untuk tatapan rakyat.

Kematian ahli politik veteran dan juga peguam terkenal Karpal Singh, yang dikenali sebagai ‘Tiger of Jelutong’ pada 17 April akibat kemalangan jalan raya ternyata memberi impak besar bukan sahaja dalam lanskap politik negara malah dunia perundangan.

Dalam kerjasama politik pakatan, Karpal Singh dikenang sebagai pemimpin DAP yang paling kuat menentang hukum hudud yang diperjuangkan PAS, sehingga pernah mengungkapkan kata-kata ‘langkah mayat saya dahulu sebelum laksanakan hudud’.

Walaupun berbeza ideologi politik, kematian bekas Pengerusi DAP dan anggota Parlimen Bukit Gelugor itu ternyata meninggalkan ruang kosong yang besar.

Isu Menteri Besar Selangor

Dunia politik parti pakatan sepanjang 2014 penuh warna-warni. Langkah Kajang dan kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor adalah antara isu yang mencetuskan kontroversi dalam pakatan PKR-PAS-DAP.

Keghairahan menukar menteri besar yang disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika itu dimulai dengan ‘Langkah Kajang’, satu pilihan raya kecil yang sengaja diadakan bagi menyingkirkan Abdul Khalid dan memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu.

Pun begitu, hasrat Anwar terbantut setelah gagal menjadi calon kerusi DUN Kajang akibat kes mahkamah dihadapinya, lalu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipertaruhkan untuk kerusi berkenaan dan menang dengan majoriti undi merosot. Sandiwara PKR berterusan dengan pencalonan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar yang baharu dan disokong penuh oleh DAP.

Rakyat juga disajikan dengan polemik pemilihan Menteri Besar Selangor yang baharu apabila PAS menolak pencalonan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal dan menyifatkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang itu sebagai tidak berkebolehan, sekaligus mencetuskan ketegangan di kalangan ketiga-tiga parti itu.

Akhirnya, Adun Bukit Antarabangsa yang juga Anggota Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-15 dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 23 September.

Tahaluf Siyasi  

Kerjasama politik atau tahaluf siyasi juga mendominasi politik pembangkang pada tahun ini memandangkan titik persamaan yang dicari antara PAS, PKR dan DAP masih belum lagi ditemui meskipun telah memulakan pakatan sejak 2008.

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din pada 17 September menggesa Dewan Ulama mengkaji semula tahaluf siyasi dalam gabungan pakatan yang longgar dan bagi menghadapi cabaran politik semasa.

Pada 20 September lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa berucap pada Muktamar PAS ke-60 turut membidas rakan tahaluf siyasi itu, yang disifatkannya sebagai tidak beretika kerana ‘mencuri’ dua wakil rakyat parti berkenaan iaitu Saari Sungib (DUN Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) untuk menyokong tindakan mereka dalam isu Menteri Besar Selangor.

Tidak cukup dengan itu, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz pada 29 September dilapor sebagai berkata biarpun PAS menegaskan akan kekal bersama parti pakatan, parti itu tetap dibuli oleh rakan-rakan dalam gabungan.

DAP Pertikai PAS

Reaksi berbeza juga ditunjukkan DAP, seolah-olah ‘membalas dendam’ ke atas PAS, apabila bertindak mempersoalkan ketidakhadiran Abdul Hadi pada mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat.

Tindakan itu memaksa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas tindakan pemimpin DAP yang mempersoalkan tindakan Abdul Hadi dan menegaskan hal itu sepatutnya tidak dipersoalkan kerana Presiden PAS itu mempunyai alasan tersendiri.

Sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meluluskan resolusi bagi mendesak Abdul Hadi hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Mesyuarat ketiga Pakatan Rakyat (PR) Sarawak yang membincangkan pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-11 antara tiga parti dalam pakatan itu menyaksikan ketiadaan wakil DAP.

DAP Sarawak sebelum ini menyatakan akan menghentikan semua komunikasi dengan PAS dan PKR, tetapi terus berada dalam pakatan pembangkang.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata Jawatankuasa DAP Sarawak mengambil keputusan memisahkan diri daripada kegiatan bersama PAS dan PKR sehinggalah dua parti itu menjelaskan pendirian mereka berhubung pelaksanaan hukum hudud.

Pilihan Raya Kecil 

Politik tanah air menyaksikan lima Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan tahun ini, melibatkan dua kawasan Parlimen iaitu Teluk Intan, Perak dan Bukit Gelugor di Pulau Pinang manakala bakinya adalah kerusi DUN iaitu Kajang (Selangor), Balingian (Sarawak) dan Pengkalan Kubor (Kelantan).

Daripada lima kawasan tersebut, pakatan PAS-PKR-DAP hanya berjaya mengekalkan dua kawasan sahaja iaitu Parlimen Bukit Gelugor (DAP) yang diadakan ekoran kematian penyandangnya Karpal Singh manakala DUN Kajang (PKR) ekoran peletakan jawatan penyandangnya Lee Chin Cheh.

Pakatan pembangkang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan yang sebelum ini dikuasai DAP dan gagal menambah dua kerusi DUN iaitu Balingian dan Pengkalan Kubor yang dimenangi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Mei tahun lepas.

Kemenangan dua kerusi oleh pakatan pembangkang dalam siri PRK menyaksikan kemerosotan jumlah majoriti yang diperoleh berbanding penyandang sebelum ini.

Di DUN Kajang, Dr Wan Azizah Ismail hanya menang dengan majoriti 5,379 undi berbanding 6,824 undi yang diterima bekas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada parti sama pada PRU13.

Undi yang diperoleh Dr Wan Azizah berkurangan 1,445 undi atau 14.4 peratus dalam pilihan raya kecil yang berlangsung pada 23 Mac lepas.

Meskipun dikuasai DAP sejak 2004, Ramkarpal Singh Deo, anak kepada mendiang Karpal Singh gagal meningkatkan majoriti biarpun pemerhati politik meramalkan beliau mampu melonjakkan majoriti undi berikutan elemen simpati ke atas kematian bapanya.

Ramkarpal memperoleh majoriti 37,659 undi iaitu penyusutan kira-kira 12 peratus berbanding 42,706 undi yang diperoleh Karpal Singh.

Darjah Kebesaran Ditarik Balik

Pada 4 November lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri yang dikurniakan kepada Anwar.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata tindakan itu dibuat setelah baginda berunding dengan Dewan Diraja Selangor dan selaras dengan kuasa baginda sebagai sumber bagi segala penghormatan dan kebesaran dalam negeri Selangor serta kuasa untuk menurunkan darjah kebesaran sepertimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Mohamad Munir berkata penarikan Darjah Kebesaran Seri-Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A) yang dikurniakan pada 1992 itu adalah berasaskan kepada tindakan dan perlakuan Anwar sejak akhir tahun 2013 yang mempersoalkan kewibawaan dan kuasa Sultan Selangor serta institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor.

Anwar dalam maklum balas berhubung perkara itu dilapor sebagai berkata penarikan balik darjah kebesaran, yang membawa gelaran Datuk Seri, tidak menghalang beliau untuk meneruskan tugas sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Selain Selangor, Anwar pernah menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri dari Pahang, Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah, Perak dan Perlis.

Hudud Terus Jadi ‘Mimpi Ngeri’ DAP 

Perjuangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud, yang dicadangkannya pada 1993, menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada DAP yang terus konsisten menentang pelaksanaan hukum itu.

Perkara ini dizahirkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Persidangan Kebangsaan DAP di Petaling Jaya 14 Disember lepas, yang dilapor sebagai berkata bahawa penolakan hukum hudud perlu dimuktamadkan kerana itu adalah aspirasi pengundi sederhana dan bukannya pengundi ekstrem dalam memberi sokongan kepada pembangkang untuk merampas Putrajaya.

Guan Eng berkata, untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14, pakatan harus ada pendirian tegas dan kedudukan yang jelas bahawa pakatan itu tidak akan melaksanakan undang-undang hudud.

Kenyataan Guan Eng mendapat reaksi segera daripada Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad yang dilapor berkata bahawa parti itu tidak akan berganjak daripada pendiriannya untuk melaksanakan hukum hudud meskipun ditentang DAP.

Mahfodz berkata DAP tidak berhak menghalang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan memandangkan negeri itu adalah di bawah pentadbiran PAS.

Pada hari sama juga, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri bagi membentangkan pindaan terhadap Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali sebagai Hukum Hudud pada 29 Disember ini, sebelum dibentangkan di Parlimen.

Mengikut Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri boleh melaksanakan undang-undang berkenaan setelah mendapat kebenaran Parlimen, kata Ahmad.