Kerajaan Peruntuk RM1.5 Bilion Naik Taraf Hospital Di Seluruh Negara Tahun Depan

SEGAMAT, 23 Dis – Kerajaan memperuntuk RM1.5 bilion bagi membina dan menaik taraf hospital dan fasiliti kesihatan di seluruh negara tahun depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

ampang_hospital

Beliau berkata ia termasuk menaik taraf hospital lama serta membina hospital baharu.

“Ini termasuk pembinaan Hospital Pasir Gudang yang kini dalam proses mengenal pasti tapak serta menaik taraf beberapa hospital di Johor,” kata beliau kepada pemberita semasa melawat Klinik Desa Palong Timur, Batu Anam di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata bangunan baharu di Hospital Pulau Pinang juga akan dibina untuk menggantikan wad kanak-kanak dan wanita.

“Bangunan itu sudah berusia 125 tahun dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati struktur bangunannya ada yang retak di beberapa tempat.

“Jadi JKR telah memberitahu, hospital itu tidak boleh digunakan. Kalau boleh, kementerian mahu cuba memulihara bangunan itu memandangkan ianya adalah hospital paling tua dalam negara dan penuh dengan warisan,” kata beliau.

Dalam masa yang sama, beliau juga mengumumkan penaiktarafan Klinik Desa Felda Palong Timur kepada Klinik Kesihatan Jenis 5.

Kerja menaik taraf yang akan menelan belanja RM20 juta itu bakal bermula tahun hadapan dan dijangka siap awal 2016, kata Anggota Parlimen Segamat itu.

Peningkatan fasiliti klinik kesihatan itu bakal memberi faedah kepada 2,000 keluarga di tanah rancangan tersebut dan beberapa kampung sekitar.

Sebelum ini penduduk itu mengambil masa kira-kira sejam setengah untuk ke Hospital Segamat bagi mendapat rawatan kecemasan dan rawatan susulan.

Pada masa ini klinik desa itu hanya menyediakan rawatan biasa kepada ibu dan kanak-kanak.

Klinik Kesihatan Jenis 5 itu bakal mempunyai 26 unit kuarters pekerja serta menyediakan perkhidmatan ambulans dan rawatan kecemasan serta pesakit luar.

Dr Subramaniam, yang turut melawat Poliklinik Segamat dan Hospital Segamat, turut mengumumkan hospital daerah itu akan dinaiktaraf ke hospital pakar mulai tahun hadapan dengan perbelanjaan sebanyak RM50 juta.

“Dua lagi bidang kepakaran akan ditambah iaitu bidang telinga, hidung dan tekak (ENT) pada Februari depan dan oftalmologi sebelum pertengahan tahun depan menjadikan jumlah kepakaran kepada 11 yang ada di hospital ini,” kata beliau.

Selain itu, bidang patologi juga dijangka bakal diwujudkan, kata beliau.

Dr Subramaniam berkata Hospital Pakar Segamat bakal beroperasi sepenuhnya pada 2018.

Advertisements