Malaysia Terima Bantuan Bencana Sebanyak 19 Juta Yen Daripada Kerajaan Jepun – Shahidan Kassim

SUBANG JAYA, 4 Jan – Malaysia hari ini menerima bantuan bencana sebanyak 19 juta Yen (RM500,000) berbentuk kemudahan teknologi mendapatkan air bersih daripada kerajaan Jepun.

image

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, bantuan yang diterima kerajaan Malaysia adalah 30 unit penapis air mudah alih, 50 unit tangki air mudah alih serta 40 set generator dan kabel.

“Kesemua barangan itu bernilai 19 juta Yen.

“Bantuan ini merupakan antara simbolik semangat setiakawan antara dua negara yang telah menjalinkan kerjasama dua hala sejak tahun 1957.

Kerjasama erat umpama ini akan terus dikekalkan, terutama sekali dalam bidang pengurusan bencana,” katanya ketika menyampaikan ucapan setelah menerima sumbangan tersebut daripada Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa di Pejabat United Nations Humanitarian Response Depot- UNHRD di sini, hari ini.

Dalam pada itu Shahidan berkata, kerajaan Malaysia sentiasa mengalu-alukan sokongan dan bantuan dari negara sahabat bagi mempercepatkan pelaksanaan proses pemulihan negara kerana ditimpa bencana alam.

“Sokongan yang diperlukan antaranya adalah kepakaran, khidmat nasihat serta barangan bantuan teknikal supaya dapat mengurangkan kesan bencana kepada mangsa yang terjejas.

“Terima kasih semua,” katanya.