Hujan Monsun Dijangka Turun Mulai Rabu Hingga Jumaat Ini – MetMalaysia

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Satu lagi episod hujan monsun yang akan menyaksikan hujan beserta angin kencang dijangka berlaku bermula Rabu hingga Jumaat di beberapa negeri yang dilanda banjir sebelum ini.

image

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pada Selasa berkata negeri yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan beberapa bahagian di Sabah iaitu di Pantai Barat, Kudat, Sandakan dan Tawau.

Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, menurut jabatan itu.

Justeru MetMalaysia mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini.

Amaran angin kencang dan laut bergelora iaitu angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang dikeluarkan 4 Januari lepas juga akan berterusan sehingga Jumaat ini.

Dalam tempoh itu juga orang ramai diinasihatkan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi atau sukan laut berikutan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini cuaca melalui talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638, laman web http://www.met.gov.my atau laman sosial Facebook dan Twitter MetMalaysia.

Advertisements