Siapa Ternak Sikap Ekstremis Dalam Pemikiran Eric Paulsen?

Jika benar dakwaan pemilik akaun Twitter bernama Eric Paulsen bahawa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) kini menyebarkan ekstremisme setiap Jumaat, maka majoriti rakyat Malaysia patut berasa lega.

image

Ini kerana dengan pengaruh dan bidang kuasanya, terutama dalam menyusun atur mesej-mesej dan tema khutbah setiap hari Jumaat, usaha JAKIM itu nampaknya kurang berkesan dan belum berjaya mempengaruhi tindak laku umat.

Umumnya, pihak berkuasa agama, terutama JAKIMPicsArt_1420989621150, kini masih tercari-cari formula memperbaiki teknik dan strategi menjadikan khutbah satu wadah menarik yang ditunggu-tunggu oleh jemaah solat Jumaat.

Pelbagai cara digunakan. Antaranya tema yang dipilih berdasarkan isu semasa dan diatur menurut peristiwa kalendar. Ini termasuklah tema hari guru, adab berjiran, masalah hedonisme di kalangan remaja dan pelbagai topik kontemporari.

Namun ini masih belum mampu mengurangkan bilangan jemaah yang menjadi ‘Pak Angguk’ kerana tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Umumnya, cara gaya para Khatib, terutamanya di masjid-masjid luar bandar amat membosankan hingga mendorong ramai yang melelapkan mata dan berbisik dalam hati agar khutbah cepat tamat.

Justeru JAKIM amat menggalakkan pihak masjid memperkenalkan khutbah yang menggunakan sistem penyampaian multimedia – ada suara (khatib), ada visual (grafik) dan ada teks yang ditayang di layar putih atau televisyen raksasa untuk mencergaskan dan memberi kefahaman lebih mendalam akan mesej khutbah yang disampaikan.

Justeru jika hendak dikatakan bahawa khutbah Jumaat digunakan oleh JAKIM untuk menyebarkan fahaman ekstremisme, maka ia adalah satu idea yang ‘dalam pembinaan’ (works under construction) yang setakat ini boleh dikatakan belum mencapai hasil yang memuaskan.

Lantas tuduhan Eric Paulsen yang dipercayai seorang peguam hak asasi manusia, sebenarnya jauh meleset. Malah agak tepat dikatakan bahawa tuduhan yang diterbitkan dalam Twitternya itu adalah tidak objektif, cetek dan gopoh.

Beliau seharusnya, menyiasat dan mengumpulkan maklumat adakah sebenarnya khutbah itu satu wadah penyebaran ideologi agama yang berkesan?

Bagaimanapun jika benar akaun Twitter itu benar milik Eric Paulsen seorang pejuang hak asasi manusia, maka tuduhannya itu bukan sahaja menunjukkan betapa dangkal, malah sebaliknya mempamerkan sikap prejudisnya terhadap Islam.

Malah, kesan segera yang boleh disimpulkan ialah, ia menzahirkan rasa benci yang menebal terhadap budaya dan syariat Islam. Tulisan atau posting beliau itu membisikkan hasutan yang amat jahat pada sebuah institusi Islam.

“Kenyataan sebegini memang wajar kita siasat di bawah Akta Hasutan,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau mengulas laporan kononnya Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu memuat naik status di laman sosial Twitter dengan menuduh JAKIM menyebarkan fahaman ekstremisme setiap Jumaat.

Umum mempercayai yang dimaksudkan oleh pemilik akaun Eric Paulsen itu merujuk kepada khutbah solat Jumaat di mana Eric menerusi statusnya kelmarin berkata:

“Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia”.

Menuduh JAKIM penyebar ekstremisme samalah dengan menuduh kerajaan mengamalkan perangai esktrem. Jika tuduhan itu berasas, mungkin ia boleh terus diperbahaskan.

Bagaimanapun dalam isu khutbah Jumaat, persoalan yang lebih menagih penyelesaian ialah bagaimana mahu menjadikan rukun solat Jumaat itu sesuatu yang benar-benar menarik, menusuk iman dan berkesan di kalangan khalayak jemaah.

Maka memang wajarlah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam soal kemajuan dan pengurusan agama Islam, Datuk Jamil Khir Baharom mengarahkan supaya JAKIM membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Twitter berkenaan.

“Tuduhan oleh individu yang membuat tuduhan tersebut dengan menggunakan nama Eric Paulsen bahawa Jakim mempromosikan atau menggalakkan ekstremisme setiap Jumaat merupakan perlakuan tidak bertanggungjawab yang amat serius dan ia provokasi kepada keharmonian antara agama yang dinikmati selama ini.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan Jakim membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap pihak yang menuduh jabatan kerajaan tersebut mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat bagi menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Jamil Khir turut mengingatkan orang ramai supaya berhenti daripada mencipta atau menyebarkan sebarang bentuk maklumat yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.

Dalam kehangatan dialog, komen dan tuduhan yang mengundang kemarahan rakyat beragama Islam hari ini, posting Eric itu dilihat satu trend di mana pemimpin politik bukan Islam kini gemar melabel kenyataan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam sebagai rasis dan ekstremis.

Ini sekaligus memecahbelahkan umat Islam kerana beberapa pemimpin utama parti-parti pembangkang dengan berani dan sewenang-wenangnya menghamburkan tuduhan rasis dan ekstremis setiap kali ada pemimpin Islam-Melayu bangkit memelihara keluhuran agama mereka.

Keadaan menjadi lebih kalut kerana atas congakan politik demi mendapat sokongan pengundi bukan Melayu, ada pemimpin Melayu yang turut ‘menuangkan minyak ke dalam sekam perhubungan pelbagai kaum dan agama’ dengan menyokong tuduhan wewenang yang dikalungkan ke leher pencinta agama Islam di Malaysia.

Adalah jelas anasir ‘duri dalam daging dan gunting dalam lipatan’ ini cuba mempamerkan sisi liberal mereka dalam wacana hubungan antara agama dan kaum. Ini merobek perpaduan bangsa Melayu beragama Islam.

Golongan ini semakin galak berceramah mencemoh puak konservatif dan berjiwa Melayu-Islam dan berbangga pula memungut sokongan golongan rasis dan ekstremis bukan Melayu yang mahu melihat Melayu-Islam berpecah.

Trend ini dilihat semakin marak berikutan strategi ‘mengutuk bangsa dan agama sendiri’ membuakkan harapan mereka boleh menjadi pemerintah selepas piihanraya ke-12 pada tahun 2008 lalu.

Percayalah lebih banyak Eric Paulsen akan tampil untuk meremeh, menghina dan mencabar pegangan rakyat Melayu-Islam. Mempertikaikan mesej khutbah Jumaat adalah satu cara menghakis keyakinan beragama di kalangan muslim.

Apabila keyakinan umat Islam goyah dan menipis, akan lahirlah lebih ramai muslim liberal yang berasa rendah diri kerana tidak ‘sematang’ ahli-ahli politik pembangkang dalam memelihara soal hubungan kaum.

Walhal Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum sudah hidup harmoni sejak berabad di negara ini. Cuma ‘desperado politik’ yang mengapikan isu agama membelah perpaduan rakyat Malaysia, sebenarnya yang menguja rakyat dengan kempen kononnya kini Melayu semakin rasis dan ekstrem.

Walhal merekalah sebenarnya yang membentuk, memupuk menternak pemikiran rasis dan ekstremis di kalangan orang seperti Eric Paulsen.

Advertisements