Mahkamah Tentera Putuskan Mejar Zaidi Dibuang Kerja

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad dihukum buang kerja oleh Mahkamah Tentera di sini, semalam, selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan melibatkan  isu dakwat kekal semasa PRU13 dan menyiarkan maklumat surat pertukaran kerjanya, dua tahun lalu.
image

Panel lima hakim, diketuai Yang Dipertua, Kolonel Saadoon Hassan, membuat keputusan itu sebulat suara selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak dan membuat penilaian maksimum terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Korum itu turut dianggotai Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib dan Mejar S Nadzeer Salehuddin.

Ketika membuat keputusan itu, Saadoon berkata tindakan Zaidi mendiamkan diri ketika dipanggil membela diri sudah cukup untuk sabitkannya bersalah.

Bagaimanapun, hukuman itu tertakluk kepada pengesahan pegawai pengesah.

Dalam pada itu, selepas sabitkannya bersalah, Zaidi, 48, diberi peluang mengemukakan rayuan dan mitigasi peringanan hukuman secara lisan kerana peguam yang sebelum ini mewakilinya tidak kelihatan di dalam dewan mahkamah.

Seorang bekas pemandu trak tentera, Mohd Yusoff Ishak, tampil di kandang saksi menyatakan kepada mahkamah bahawa dia menyanjung tinggi bantuan yang diberikan Zaidi ketika terlibat dalam satu kemalangan di Bosnia pada 1995 yang nyaris mengorbankan nyawanya.

Sementara itu, ketika diminta membuat mitigasi peringanan hukuman, Zaidi yang duduk di kandang tertuduh dengan tenang cuba menjelaskan beliau berada di pihak yang benar dan menyifatkan pendakwaan ke atasnya dibuat atas kehendak penguasa politik.

Kenyataan itu bagaimanapun, menimbulkan sedikit ketegangan dalam dewan mahkamah selepas Saadoon meminta Zaidi tidak mengaitkan perkara itu sebagai isu politik sebaliknya menyatakan mahkamah itu saksama dan tidak mempunyai unsur politik.

Zaidi meneruskan hujahannya dengan berkata: “Kamu pegawai, saya pun pegawai. Kamu dapati saya bersalah dan ini sesuatu yang besar”.

Perkataan yang disebut itu sekali lagi ditegur Saadoon dan beberapa hakim lain yang meminta supaya Zaidi tidak biadab dengan mahkamah atau dia boleh didakwa menghina mahkamah.

“Saya menyanjung tinggi sikap integriti, iaitu bercakap benar dalam semua situasi. Saya telah berkhidmat selama 26 tahun. Jangan anggap saya seperti kanak-kanak kecil. Saya tak perlu cakap apa-apa. Kita jumpa di mahkamah ALLAH!” katanya.

Mahkamah itu berhenti bersidang jam 11 pagi dan disambung semula jam 2 petang untuk keputusan.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Saadoon berkata, mahkamah itu mengambil kira faktor mitigasi dalam menjatuhkan hukuman walaupun Zaidi tidak membuat sebarang rayuan ketika diberi peluang oleh mahkamah.

Beliau berkata, Zaidi banyak berjasa dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang 26 tahun perkhidmatannya, mendapat pingat-pingat serta menjalankan tugasan khas semasa berada di Bosnia 20 tahun lalu.

“Mahkamah juga menilai kedudukan beberapa faktor lain, termasuk tanggungan pesalah (Zaidi), rekod cemerlang serta kesalahan kali pertama yang dilakukan.

Beliau berkata, bagaimanapun, mahkamah tetap tertakluk kepada prinsip perundangan yang mementingkan kepentingan awam dan kepentingan perkhidmatan bagi menghalang orang awam mahupun anggota ATM lain membuat kesilapan yang sama.

“Kepatuhan kepada undang-undang adalah kekuatan dalam ATM. Kegagalan mematuhi arahan adalah tidak wajar dalam tentera,” katanya.
Ditemui di luar mahkamah, Zaidi berkata dia tidak akan merayu terhadap keputusan itu.

“Saya tidak bersalah. Untuk apa merayu? Saya terima takdir ALLAH,” katanya

Zaidi didakwa melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera No 13 Tahun 1961 dengan membuat kenyataan media untuk menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal yang sepatutnya perkara itu disiasat melalui saluran angkatan tentera dan Kementerian Pertahanan, di perkarangan Balai Polis IPD Kepala Batas pada 1 Mei 2013.

Dia turut didakwa mendedahkan kepada akhbar maklumat kawat tumpangan keluar (surat pertukaran kerja) sebagai penyelidik ke Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 3 Mei tahun sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melanggar para 13 Perintah Majlis Angkatan Tentera (Permat).

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau mana-mana lebih ringan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

Pada 27 Oktober 2014, panel hakim itu mengarahkan Zaidi membela diri daripada dua tuduhan itu dan melepas dan membebaskan Zaidi daripada lima pertuduhan lain selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Advertisements