Semoga Banjir Menghanyutkan Hasad Dengki Dan Dendam Politik

Di darat, arus banjir deras. Di udara, cuaca buruk, hujan lebat serta angin kencang. Sementara untuk meredah banjir pula bot yang sesuai untuk menyelamatkan mangsa dan menghantar bekalan makanan, tidak mencukupi.

buruk

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim menjelaskan bahawa sukar untuk anggota penyelamat melaksanakan tugas seperti dirancang apabila berdepan banjir yang agak kritikal kali ini.

“Memang tugasan menyelamat terpaksa dilakukan pantas kerana paras air naik mendadak. Saya harap semua pihak bersabar kerana pasukan penyelamat berusaha sedaya upaya mengagihkan keperluan dan bekalan makanan,” katanya.

Ketika dilanda musibah pasukan penyelamat memang menjadi tempat bergantung. Bagaimanapun sebarang kelengahan dan kelewatan boleh memancing kemarahan dan kritikan pedas rakyat.

Semua ini adalah cabaran bagi pihak berkuasa membabitkan polis, tentera, bomba, dan agensi-agensi lain ketika berlaku bencana. Bagaimanapun ada segelintir rakyat tidak mahu menerima realiti ini.

Ada yang sengaja menyebarkan betapa helikopter dan bot pihak berkuasa ini hanya mundar mandir berhampiran pusat-pusat pemindahan mangsa banjir dan kemudian berlalu pergi.

Faktor air naik cepat, hujan tidak henti hingga lebih seminggu tidak diendahkan. Yang penting mereka mahu sikap “keberatan membantu” bayi yang kelaparan, kesejukan dan pesakit di hospital yang tidak dapat pembelaan, diperbesarkan.

Maka merebaklah cerita banyak mayat ditemui terapung dalam kejadian buruk yang sedang melanda sekarang ini hingga pihak pihak polis terpaksa tampil membuat penafian.

Selain itu ada yang berani berbohong dan menyebarkan khabar palsu bahawa bangunan tempat pemindahan mangsa banjir di sebuah sekolah di Manek Urai runtuh. Kononnya runtuhan ini menyebabkan ramai yang terkorban.

Berita ini ternyata palsu. Sudah tentu natijahnya tidak baik. Rakyat resah dan pihak berkuasa bencana tertekan. Ini memaksa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berusaha menjejaki penyebar khabar palsu ini.

Pada mulanya kerja subversif begini disangka hanya dilakukan oleh individu yang kurang berpuas hati dengan pihak berkuasa. Bagaimanapun apabila banjir semakin memburuk, kisah palsu sebegini semakin merebak.

Mungkin pada perkiraan anasir-anasir jahat ini, ketika kesusahan, kerengsaan dan kelaparan membaluti hidup rakyat, inilah masanya untuk menjentik emosi mereka supaya bangkit memusuhi pihak berkuasa banjir dan akhirnya kerajaan.

Semakin merebak banjir semakin ketara motif mereka yang mahu menimba seberapa banyak markah politik di atas kesusahan rakyat! Ia juga membentuk satu corak bahawa khabar-khabar palsu ini sebenarnya strategi politik (black operations) yang tersusun.

Maka berulanglah kisah yang mendakwa ada pihak menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan semata-mata untuk menukar sarung pembalut bahan bantuan agar tertera logo Barisan Nasional dan wajah pemimpin Umno!

Astaghfirullah. Jika benar ini berlaku, setiap rakyat harus mengutuk perbuatan tidak bertamadun dan zalim ini. Bagaimanapun jika dakwaan itu tidak benar, rakyat harus lega bahawa penyebar fitnah ini pasti dihukum Allah azza wa jalla.

Untuk memperlengkap dakwaan, pihak polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dituduh bersekongkol mengadakan sekatan jalan raya menahan bantuan dari seluruh pelosok negara untuk tujuan menipu itu.

Dakwaan ini serius. Jika benar itu berlaku bermakna kerja dakwah, propaganda dan kempen politik pihak anti-kerajaan selama ini supaya anggota pasukan keselamatan berhenti menyokong Umno-BN, sudah gagal.

Ini kerana dalam keadaan genting seperti banjir yang menimpa rakyat, masih belum ada anggota keselamatan yang berani mengabaikan arahan bersifat politik  itu. Ini bererti kempen anti-kerajaan itu tidak berkesan.

Serentak itu, tersebarlah khabar betapa keadaan semakin meruncing dan pesakit-pesakit yang tenat di hospital Kuala Krai perlu dipindahkan ke hospital lain kerana bekalan elektrik dan air di hospital itu telah terputus.

Memandangkan banjir tidak juga surut, maka pemindahan cuma boleh dibuat menggunakan helikopter. Dan, oleh kerana pihak berkuasa tidak mempunyai kelengkapan yang cukup maka helikopter perlu disewa.

Satu penerbangan menelan belanja hingga RM25,000. Ini bermakna dana awam diperlukan. Maka hulurkanlah bantuan, kata khabar itu

Hebahan ini jelas palsu. Ia mempunyai dua agenda. Satu, meraut keuntungan peribadi. Kedua, ia terus mengapikan kebencian terhadap pihak berkuasa.

Seiringan itu, kempen memburukkan pemimpin berterusan. Kisah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercuti di Hawaii serta bermain golf dengan presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sewaktu banjir besar melanda Malaysia, diperbesarkan.

Namun apabila Najib bergegas pulang ke tanah air, menziarahi mangsa-mangsa banjir dan meluluskan peruntukan RM500 juta bagi membantu mangsa serta mengarahkan menteri yang bercuti pulang bekerja, corak kempen kebencian ini dilanjutkan ke tahap baru.

Oleh kerana di peringkat ini niat dan matlamat penyebar fitnah ini semakin jelas bermotif politik, serangan secara terbuka pula dilakukan. Kali ini gambar-gambar yang disunting untuk menjolok kemarahan rakyat disebarkan.

Yang terbaharu ialah foto yang diberi tajuk “Najib dah sampai”. Foto parodi ini menggambarkan Najib berdiri di atas sebuah kapal selam berbentuk Scorpene malawat kawasan banjir. Ini semua mirip suara pembangkang.

Maka jelaslah khabar, gosip dan laporan palsu yang menjadi “viral” ini bermotif politik. Yang membenci Umno-BN ialah parti-parti pembangkang. Namun yang menyedihkan ialah nafsu pembangkang menyebarkan kebencian ini seolah-olah tiada batasnya.

Ketika rakyat bersedih, risau, dan sugul dilanda banjir, pihak anti-kerajaan ini mengambil kesempatan untuk memarakkan kebencian dalam hati nubari mereka agar menjangkiti rakyat yang sedang dilanda musibah.

Seolah-olah pihak pembangkang langsung tiada perasaan simpati dan rasa ikhlas dalam perjuangan politik mereka. Ketika kehidupan haru-biru dan bingung dek bahana banjir, mereka menggodam kesabaran dan sifat toleransi rakyat.

Politik kebencian tidak berhenti di situ. Dalam badai tengkujuh ada ahli politik yang tidak segan silu mengumumkan congakan dan kempen politik mereka.

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani, misalnya berkata, partinya optimis akan merampas semula Terengganu daripada BN dalam pilihanraya akan datang.

Menurut lojik beliau, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman tidak membawa apa-apa perubahan yang signifikan sejak BN menguasai semula negeri itu pada 2004.

Ketika rakyat merayu bantuan banjir, beliau merayu rakyat Terengganu memberi peluang sekali lagi kepada PAS mentadbir kerana lebih banyak faedah akan diperolehi.

Sesungguhnya, pemimpin seumpama ini nampaknya langsung tidak berhemah dalam menguruskan keperluan mendesak rakyat yang kuyup dengan derita dilanda banjir dan masih mahu berkempen demi mahu berkuasa.

Wahai banjir, hanyutkanlah hasad dengki dan dendam kesumat politik ini.