Bekas CEO Tekun Ditahan Reman

PUTRAJAYA, 16 – Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan daripada syarikat pengutip hutang.

image

Majistret Lukman Hakim Abu Bakar Sedik mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula Jumaat sehingga 22 Januari ini terhadap lelaki berusia 60 tahun itu untuk disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Suspek bergelar ‘Datuk’ itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada 9.30 pagi ini untuk mendapatkan perintah reman.

Difahamkan lelaki itu ditahan di Kelab Shah Alam, Selangor pada 9.20 malam Khamis.

Tekun adalah satu badan di bawah sebuah kementerian.

Suspek didakwa melakukan kesalahan itu bermula 2011 hingga tahun lepas, dengan meminta rasuah daripada syarikat pengutip hutang mengikut peratusan dan sebagai balasan, kontrak perkhidmatan syarikat itu, dilanjutkan.

Siasatan awal mendapati suspek memperoleh RM20,000 hingga RM70,000 sebulan sepanjang tempoh berkenaan.