Pembentangan Akta Kanak-Kanak baharu Selewat-lewatnya Jun Ini

SHAH ALAM, 24 Jan – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyatakan akta baharu yang akan menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun ini.

image

Beliau berkata, draf akta baharu itu yang memberi lebih penekanan terhadap kecuaian ibu bapa dalam penjagaan anak-anak, kini sedang diperhalusi Jabatan Peguam Negara selepas pihaknya membuat beberapa pindaan.

“Pada tahun lepas, kita menghantar draf pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 kepada Peguam Negara, namun dikembalikan untuk diperhalusi dan kini draf itu diserah semula kepada Peguam Negara dan sedang diteliti dari segi perundangan, perkataan serta istilah digunakan.

“Kita jangka pada Jun ini bentang di Parlimen, tetapi kami cuba untuk awalkan memandangkan akta lama telah tidak lagi terpakai. Memandangkan pindaan yang dibuat (terhadap akta sedia ada) lebih 70 peratus, kita yakin Peguam Negara akan bersetuju ia jadi satu akta baharu yang mungkin dikenali Akta Kanak-Kanak 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis ‘Santai Kopi O’ bersama Rakan FB Komuniti Pertubuhan Wanita (Perwani) Shah Alam di Galeri Shah Alam di sini, hari ini.

Advertisements