MyEG: Majikan Lega Kaunter PLKS Dibuka Semula

PUTRAJAYA, 26 Jan – Rata-rata majikan yang hadir ke ibu pejabat Jabatan Imigresen di sini, pada Isnin menarik nafas lega apabila kaunter untuk memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja asing dibuka semula.

image

Walaupun kaunter berkenaan hanya dibuka sementara sehingga tempoh peringkat pembuktian konsep (POC) bagi sistem secara dalam talian melalui MyEG Service Bhd (MyEG) pada 28 Februari depan, namun sekurang-kurangnya ia membantu meleraikan masalah yang dihadapi mereka ketika menggunakan kaedah baharu MyEG.

Ini termasuk rungutan mereka mengenai caj RM38 yang dikenakan MyEG tidak setimpal dengan perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan.

Wakil majikan, Razman Razak, 23, berkata sistem dalam talian itu hanya memudahkan pengguna sekiranya tiada kesulitan yang dihadapi majikan ketika membuat permohonan.

Beliau yang mempunyai kira-kira 800 pekerja asing pernah menggunakan sistem MyEG untuk PLKS mendakwa permohonannya sebelum ini pernah ditolak malah ada yang masih tidak diluluskan.

“Kata sistem MyEG ini boleh siap permohonan dalam masa dua hari tetapi ada permohonan saya yang masih tidak diluluskan selepas lebih seminggu.

“Saya ada buat permohonan untuk 49 pekerja, tetapi 30 ditolak dan lima lagi belum diluluskan kerana hal berkaitan kesihatan pekerja menerusi Femoma (Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing).

“Buat apa saya buat ‘online’ di MyEG tetapi akhirnya saya perlu selesaikan masalah berbangkit di kaunter Imigresen. Lebih mudah kalau saya terus datang ke Imigresen tanpa buat dengan MyEG terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di Bahagian Pekerja Asing di Ibu Pejabat Imigresen di sini, Isnin.

Pada Jumaat lalu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim mengumumkan kaunter PLKS di pejabat jabatan itu dibuka semula sehingga 28 Februari ini antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada majikan-majikan membiasakan diri dengan proses permohonan PLKS secara dalam talian.

Pada masa sama proses permohonan melalui sistem dalam talian MyEG tetap dibuka kepada majikan.

Seorang lagi wakil majikan, Azman Rahman, 33, turut meluahkan rasa tidak puas hati apabila tempoh siap permohonan tidak seperti yang dijanjikan majikan.

“Kalau saya datang ke kaunter Imigresen, saya sudah boleh selesaikan urusan saya pada hari yang sama. Memang kena beratur panjang tetapi urusan saya lebih mudah untuk diselesaikan.

“Bayangkan kalau permohonan saya secara dalam talian mengambil masa terlalu lama dan pekerja asing boleh ditangkap, jadi siapa yang hendak dipersalahkan?

Adakah MyEG yang akan bertanggungjawab?,” soalnya walaupun mengakui antara tujuan permohonan PLKS secara dalam talian bagi mengelakkan masalah kesesakan di kaunter Imigresen.

Sehubungan itu Azman berkata, MyEG perlu memastikan sistem yang dilaksanakan lebih cekap bagi mengelakkan masalah lain yang hanya membebankan majikan selain dikenakan caj RM38 bagi setiap permohonan.

“Memang caj RM38 itu agak membebankan majikan seperti saya yang perlu menguruskan 1,500 pekerja tetapi adalah lebih membebankan kalau kami masih mengalami masalah selepas menggunakan perkhidmatan ‘berbayar’ itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi majikan yang enggan dikenali mempersoalkan jaminan kepada mereka yang menggunakan sistem secara dalam talian itu memandangkan ia diuruskan oleh syarikat swasta yang dilantik kerajaan.

Ini katanya, selain caj RM38 majikan turut perlu membayar caj pemprosesan PLKS sebanyak RM125.

“Apakah jaminan dalam meletakkan MyEG untuk menguruskan permohonan kami? Kalau kami melakukan urusan di kaunter Imigresen, kami tahu hal pekerja asing kami dengan caj pemprosesan itu dikendalikan oleh agensi kerajaan.

“Caj RM38 sudah tentu jumlah banyak terutama bagi majikan yang mempunyai beribu pekerja asing sedangkan kita mahu mengurangkan kos, maka perjelaskan kepada kami apakah jaminan yang boleh diberikan kepada kami menerusi sistem MyEG ini,” katanya yang datang ke kaunter Imigresen untuk membuat permohonan PLKS seawal pukul 8 pagi.

Advertisements