Malaysia Istihar Kehilangan Pesawat MH370 Sebagai Kemalangan

PETALING JAYA, 29 Jan – Tragedi membabitkan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 diisytiharkan sebagai kemalangan, manakala semua 239 penumpang serta kru dianggap telah terkorban.

image

Pengumuman rasmi kerajaan Malaysia itu disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman menerusi siaran rakaman yang disiarkan di RTM1 pada petang, Khamis.

“Selepas 327 hari operasi mencari dan menyelamat, kemudiannya ke fasa mencari dan penemuan semula pesawat itu, didapati tiada yang dikesan terselamat.

“Sehubungan itu, dengan berat hati dan bagi pihak kerajaan Malaysia diisytiharkan MH370 satu kemalangan berdasarkan standard Annex 12 dan 13 yang ditetapkan pada konvensyen antarabangsa penerbangan awam, Konvensyen Chicago,” katanya.

Azaharuddin berkata, pengisytiharan itu juga bagi membolehkan keluarga mangsa MH370 mendapatkan bantuan yang diperlukan terutama dalam proses pampasan.

“Ketika ini, pihak MAS sudah bersedia untuk menjalankan proses pampasan untuk semua waris mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, pada masa sama, beliau memberi jaminan usaha mengesan pesawat berkenaan akan diteruskan sehingga semua ditemui atau tiada lagi harapan.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan memahami pengisytiharan itu tentu menjadi sesuatu yang sukar kepada waris penumpang dan anak kapal.

“Bagaimanapun, Malaysia memberi jaminan pencarian pesawat MH370 tetap kekal sebagai keutamaan,” katanya.

Pada masa ini katanya, siasatan agak terhad berikutan tiada bukti secara fizikal terutama perakam data penerbangan.

“Oleh itu, tiada bukti yang boleh mengaitkan dengan sebarang spekulasi terhadap punca kemalangan.

“Laporan interim yang akan memperincikan proses siasatan dijangka dikeluarkan pada atau sekitar selepas setahun kehilangan pesawat,” katanya yang merujuk pada 7 Mac depan.

Selain itu, portal khas, http://www.mh370.gov.my diwujudkan untuk membolehkan waris mendapatkan perkembangan terkini serta sahih berhubung operasi mencari, siasatan, proses pampasan dan sebarang bantuan untuk semua terlibat.

Advertisements