Kempen ‘Save Maryam’ Peringatan Kepada Umat Islam Di Malaysia

Kempen “Selamatkan Maryam” atau savemaryam, mengenai gerakan Kristianisasi di Indonesia kini hangat diperkatakan. Menurut laporan, lebih 2 juta rakyat Indonesia murtad menjadi Kristian setiap tahun.

image

Pada hemat saya, melihat situasi Indonesia dahulu dan kini, perkara ini tidak mustahil boleh berlaku. Rakan laman facebook saya menceritakan gerakan Kristian di sana amat hebat dan berkesan.

ANTARA FAKTORNYA ADALAH:

(i) Kadar kemiskinan yang tinggi boleh menyebabkan orang menjual akidah,

(ii) Tidak ada perlindungan terhadap Islam dalam perlembagaan,

(iii) Tidak ada program yang tersusun yang serius untuk menyelamat akidah umat Islam,

(iv) Saiz negara yang begitu besar, mempunyai lebih 13,000 pulau, menyebabkan sukar untuk dikawal jika mengamalkan sistem demokrasi,

(v) Agama Islam hanya tinggal pada nama dalam Pancasila,

(vi) Nama dan cara hidup sudah tidak membezakan antara Islam dengan Kristian,

(vii) Kebebasan media yang keterlaluan,

(viii) Tidak ada tindakan dilakukan jika ada usaha untuk memurtadkan orang Islam,

(ix) Membenarkan perkahwinan antara agama dan sebagainya.

Indonesia dikenali sebagai negara berpenduduk terbesar Islam di dunia. Dahulunya, lebih 90 peratus penduduknya beragama Islam.

Kini hanya 200 juta sahaja yang beragama Islam, daripada 240 juta jumlah keseluruhan. Mengikut jangkaan, jika sesuatu tidak dilakukan, pada 2035, Indonesia akan menjadi negara majoriti Kristian.

Jika perkara ini berlaku, ini satu ancaman besar kepada negara Islam kecil seperti Malaysia. Apatah lagi, negara semut ultra kiasu di selatan tanah air yang dahulunya milik Tanah Melayu, sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengambil kesempatan.

Gerakan Kristianisasi tidak kurang hebatnya di sini. Apa yang berlaku di Indonesia ini, cuba dipraktikkan di sini atas nama hak asasi manusia. Kita bernasib baik kerana terdapat perlindungan terhadap Islam dan perlembagaan.

Saya amat berharap kerajaan Malaysia sensitif dengan perkara ini, walaupun ada pihak yang sinis, mengatakan, kenapa kita terlalu takut dengan Kristianinasi, bukankah menjadi tanggungjawab mereka menyebarkan agamanya? Jawapannya, negara kita berbeza dengan negara lain dan perlu mesti bersedia berhadapan dengan perancangan tersusun dan licik orang lain.

Persediaan akidah yang mantap, kekuatan pertahanan dan keselamatan hendaklah dilakukan serentak.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh ALLAH dan musuh kamu serta musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan ALLAH mengetahuinya. Apa sahaja kamu nafkahkan pada jalan ALLAH, nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi” (Surah Al-Anfal : 60)

Mereka mempunyai kewangan yang mantap dari seluruh dunia. Nusantara Melayu adalah sasaran utama mereka, setelah mereka dilihat seolah-olah telah ‘gagal’ dalam perancangan dakwahnya di barat kerana Islam lebih mendapat tempat di sana. Maka tidak hairanlah begitu ramai bangsa saya yang memeluk agama Kristian.

Inilah yang berlaku di Indonesia. Inilah juga perancangan jahat InterFaith Commission (IFC) dengan 14 tuntutannya, yang mahukan kerajaan mengiktiraf mereka. Ingatlah wahai saudara ku, orang Indonesia itu juga adalah saudara kita.

Selamat mereka, selamatlah kita. Kita tidak boleh berpeluk tubuh. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, tidak menzalimi atau mencelakakannya. Barang siapa membantu keperluan saudaranya sesama Muslim dengan menghilangkan satu kesusahan darinya, nescaya ALLAH akan menghilangkan darinya satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan pada hari kiamat. Dan barang siapa menutupi aib seorang Muslim, nescaya ALLAH akan menutup aibnya pada hari kiamat” (Riwayat Bukhari).

Bagaimana pula nasib dan hak pembantu rumah Indonesia beragama Islam yang bermajikan mereka yang bukan Islam? Bayangkan jika proses Kristianisasi berlaku, apakah tidak mungkin pembantu rumah ini menjadi murtad? Pihak imigresen perlu melakukan sesuatu. Jika tidak, kita juga dianggap bersubahat.

Akhirnya, marilah kita memberi sumbangan (sedekah) sebanyak mungkin kepada umat Islam di sana untuk mengadakan televisyen Islam dan menyokong segala usaha menyelamatkan akidah umat Islam.