Kelantan Cadang Bentang Rang Undang-Undang Persendirian Di Parlimen Berkaitan Hudud

KOTA BAHARU, 5 Feb – Kerajaan negeri Kelantan bercadang membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bulan depan bagi mendapatkan kelulusan beberapa pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang akan membolehkan ia melaksanakan hukum hudud dan qisas di negeri itu.

image

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sebelum ini, persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkenaan pindaan kanun tersebut yang dijadualkan pada 29 Disember lalu terpaksa ditangguhkan berikutan banjir melanda negeri itu.

“Kita bercadang membawa rang undang-undang persendirian ini dalam persidangan biasa di Parlimen Mac ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Mohd Amar berkata antara tujuan rang undang-undang persendirian itu adalah meminta kelulusan Parlimen untuk menaikkan had hukuman supaya memenuhi kehendak al-Quran dan sunnah.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan akan membawa rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan hudud dapat dilaksanakan di Kelantan.

Kerajaan negeri juga mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Peringkat Negeri sejak lebih setahun lalu dan turut menghantar enam wakil menyertai Jawatankuasa Khas Teknikal Peringkat Kebangsaan bagi mengkaji pelaksanaan hukum berkenaan.