Penjelasan Majlis Fatwa Kebangsaa Tentang Isu Umat Islam Malaysia Yang Berjuang Atas Nama ISIS

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 – 22 Oktober 2014 telah membincangkan Isu Umat Islam Malaysia Yang Berjuang Atas Nama ISIS.
image

Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

1. Setelah meneliti laporan penyelidikan yang telah diperakukan oleh Panel Pakar Akidah JAKIM dan kertas kerja yang disediakan serta meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah mendapati bahawa:

i. Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) atau Islamic State of Iraq and Levant (ISIL) merupakan rentetan dari gerakan Salafi Jihadi di Iraq yang pada asalnya terdiri dari tiga organisasi jihad yang berbeza: iaitu Ansar al-Islam yang terdiri dari kelompok Salafi Jihadi warga Iraq yang membentuk kawasan ‘pemerintahan Islam’ mereka yang tersendiri dan mengamalkan kehidupan Islami ortodoks dan radikal, keduanya, kumpulan Mujahidin berasal dari Jordan di bumi Iraq yang mengisytiharkan diri mereka sebagai ‘Jamaah al-Tawhid wa al-Jihad’ di bawah pimpinan Abu Mus’ab al-Zarqawi yang berhijrah ke Iraq untuk melancarkan jihad memerangi pendudukan tentera Amerika Syarikat ke atas bumi Iraq, dan juga kumpulan mujahidin al-Qaeda yang berhijrah dari Afghanistan, akibat serangan Amerika Syarikat ke atas bumi Afghan selepas peristiwa 11 September.

ii. Kebanyakan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah di seluruh dunia telah mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan kumpulan ISIS atau ISIL ini kerana ideologi keganasan dan sikap mereka yang mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka dan menghalalkan darah mereka.

Mereka membunuh rakyat tidak berdosa dan menghalau golongan Kristian dan Yazidi dengan penuh kezaliman.

Para Ulama  Ahli Sunnah di seluruh dunia melabelkan ISIS atau ISIL ini sebagai Khawarij di  zaman moden dan Jumhur Ulama Ahli Sunnah bersepakat mengenai kesesatan dan juga penyelewengan golongan ini dan memperingatkan umat Islam agar tidak terpedaya dengan segala propaganda ISIS atau ISIL ini.

2. Sehubungan itu, berdasarkan fakta-fakta yang telah dikemukakan dan selaras dengan nas-nas syarak, Muzakarah berpandangan bahawa kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama ISIS atau ISIL di bumi Syria adalah berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut Hukum Syarak.

Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana mereka menghalalkan darah sesama umat Islam.

3. Oleh itu, Muzakarah menegaskan bahawa tindakan umat Islam dari Malaysia yang telah ataupun yang ingin berjuang atas nama jihad di bumi Syria bagi menyokong golongan ISIS atau ISIL adalah sia-sia kerana perjuangan mereka tidak tergolong sebagai jihad dan kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid menurut kerangka Hukum Syarak.

4. Muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam di Malaysia supaya menginsafi diri dan tidak mudah terpengaruh atau terjebak dengan keganasan dan propaganda perjuangan kumpulan ISIS atau ISIL ini.