Butik Konsep Vendor Bantu Peniaga Maya

SEREMBAN, 9 Feb – “Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan”, begitulah fenomena yang dapat dilihat dalam kalangan peniaga dalam talian pada masa kini yang bilangan mereka meningkat dengan ketara saban hari.

image

Selain ingin menambah wang saku dan pendapatan ada juga yang menceburi bidang ini kerana minat berniaga.

Tetapi lambakan peniaga alam maya ini menyebabkan wujudnya persaingan yang sengit.

Untuk berada di hadapan persaingan, seorang usahawan muda muncul dengan satu idea kreatif yang membolehkan usahawan alam maya turut menjual barangan mereka di butik pelbagai vendor di alam nyata.

Bagi usahawan muda dan penulis blog imasahaja.blogspot.com, Nurhakimah Mohd Zulkifli, 22, idea untuk menawarkan konsep butik vendor pelbagai ini terbit apabila beliau seringkali diberi produk percuma oleh peniaga alam maya untuk mendapatkan pandangan.

MEMBANTU PROMOSI PRODUK PENIAGA MAYA DI ALAM NYATA

“Bertitik tolak dari situ, saya mula terfikir selain daripada mendapatkan pandangan mengenai produk mereka di blog peribadi saya apa lagi yang saya boleh buat untuk mempromosi barangan yang dijual oleh para peniaga dalam talian ini.

“Lantas tercetus idea untuk mewujudkan sebuah butik sendiri yang dinamakan ‘Imacattura’ dengan modal RM40,000 yang selain menjadi sumber pendapatan turut menawarkan ruang untuk para peniaga alam maya meletakkan barang jualan masing-masing.

“Butik berkonsepkan pelbagai vendor ini lebih memudahkan pelanggan yang datang jika dibandingkan dengan butik eksklusif. Selain dapat merasa dan melihat sendiri barangan yang hendak dibeli, mereka juga dapat memilih barangan lain daripada ‘head to toe’ di sebuah butik sahaja,” katanya kepada Bernama.

Ia dibuka pada 15 Nov, 2014 dan kini kira-kira 80 peniaga dalam talian yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, tudung, selendang, beg tangan, cermin mata, produk kesihatan, aksesori dan kasut memperagakan produk masing-masing di butik berkenaan.

Butik, yang terletak di Dataran Kemuning, Senawang, dekat sini turut menyediakan satu ruang khas lengkap dengan makanan seperti biskut, kek, coklat, keropok dan gula-gula sebagai pilihan lain untuk pelanggan yang berkunjung ke butik ini.

IKUT JEJAK AYAH

Satu ruangan untuk berehat juga disediakan kepada pelanggan, khususnya bagi golongan suami yang menemani isteri membeli-belah di sini.

Menurut anak keempat daripada tujuh beradik ini, beliau tidak menetapkan syarat yang begitu ketat dalam pemilihan vendor asalkan barangan itu menarik dan masih belum dijual di butiknya.

“Setiap vendor dikenakan harga sewa dari RM50 hingga RM200 sebulan bergantung kepada jenis produk dan ruang peraga yang diperlukan. Selain itu, harga barangan yang ditawarkan juga amat berpatutan dan mampu dimiliki iaitu dari serendah RM1.00 hingga RM150,” katanya.

Bercerita mengenai sejarah pembukaan butiknya, gadis yang berkelulusan Diploma Seni Kulinari dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang ini mengakui mengikut jejak langkah ayahnya yang juga seorang usahawan.

Sebelum memulakan perniagaan di butik ini, Nurhakimah melakukan tinjauan terlebih dahulu dengan bertanya soalan-soalan berkaitan terutamanya kepada ayah, abang dan kakaknya, yang juga usahawan selain kawan-kawan yang berpengalaman dalam bidang ini.

Nurhakimah merancang untuk melantik beberapa lagi pekerja selain berhasrat membuka cawangan Imacattura di Melaka atau Selangor.

Beliau berharap konsep butik vendor ini akan sentiasa menjadi pilihan masyarakat dan lebih ramai peniaga alam maya akan menyertainya dan merancakkan lagi industri ini di Malaysia.

Advertisements