DAP Desak PAS Dapat Kelulusan Pakatan Untuk Laksana Hudud

PULAU PINANG, 10 Feb – DAP semalam menggesa PAS untuk menangguhkan cadangan pelaksanaan hudud di Kelantan selagi tidak mendapat persetujuan Majlis Presiden Pakatan Rakyat, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

image

Beliau berkata partinya akan mengambil pendekatan yang sama bersabit cadangan mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan.

Beliau berkata dua isu itu harus di selesaikan mengikut prinsip konsesus yang menjadi pegangan Pakatan Rakyat, yakni sesuatu cadangan tidak boleh dilaksanakan jika ada bantahan daripada mana-mana parti komponen gagasan itu.

“DAP rela untuk membiarkan isu pilihan raya PBT dibincang oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat terlebih dahulu,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat khas untuk memerinci isu pelaksanaan hudud di Kelantan dan pilihan raya PBT yang menjadi punca pebalahan DAP-PAS.

Perbalahan itu menjadikan Pakatan Rakyat begitu rapuh sehingga tidak dapat mengatur perjumpaan pimpinan tertinggi untuk sekian lama, sehingga mesyuarat ringkas semalam.

PAS berkata agenda hudud yang dibawanya tidak memerlukan persetujuan Pakatan Rakyat kerana ia menjadi matlamat PAS sebelum gabungan pembangkang itu ditubuhkan pada tahun 2008.

Pada masa sama PAS menuduh Lim sebagai berbohong apabila mendakwa parti itu (PAS) bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan pilihan raya PBT anjuran DAP.

Semalam Lim mengitar semula dakwaan itu dengan menegaskan PAS tidak pernah menolak pilihan raya berkenaan pada muktamarnya yang lalu.