Najib Razak Lancar Model Indeks Syariah Malaysia Yang Pertama Di Dunia

PUTRAJAYA, 10 Feb – Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa melancarkan Model Indeks Syariah Malaysia yang merupakan satu produk pelengkap tadbir urus Islam yang pertama seumpamanya di dunia.

image

Perdana Menteri berkata, model ini mempunyai nilai perintis yang menyeluruh, komprehensif dan bermodelkan Malaysia.

Menurutnya, ia mencakupi lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.

“Untuk setiap satu bidang ini, tahap penyempurnaan lima aspek dalam Maqasid (Objektif) Syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta akan diindeks dan kemudian hasilnya diuruskan untuk mencapai kesempurnaan syariah.

“Kita akan mengukur dan menyemak sama ada dasar dan program yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan, menepati atau tidak dengan apa yang terkandung dalam tuntutan Maqasid Syariah itu.

“Sebagai contoh, sesuatu dasar itu mungkin patuh Syariah. Tetapi yang juga penting adalah bagaimana dasar itu dilaksanakan dengan adil, cekap dan tepat pada sasarannya,” kata perdana menteri ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara’ 2015 dan Pelancaran Indeks Syariah Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Najib berkata, pembangunan Model Indeks Syariah Malaysia ini akan dikendalikan jawatankuasa khas yang diterajui Jakim dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Perdana Menteri berkata, Indeks Syariah Malaysia itu bukan semata-mata untuk mengukur usaha membabitkan tahap pencapaian dalam menterjemahkan prinsip dan nilai Islam.

Sehubungan itu katanya, masyarakat bukan Islam juga akan menerima manfaat di sebalik penggunaan indeks ini kerana ia bertujuanย  mencari ruang untuk penambahbaikan.

Sementara itu, Najib berkata, jawatankuasa khas iaitu Panel Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia ditubuhkan sebagai badan pelaksana dan pemantau indeks secara sepenuh masa.

“Badan ini juga akan diberi kuasa untuk menilai tahap kesungguhan semua pihak yang terbabit dalam menjayakan agenda melaksanakan Maqasid Syariah.

“Panel jawatankuasa ini akan dianggotai tokoh dan pakar dalam bidang dasar dan polisi, syariah, indeks dan ekonomi Islam serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam,” katanya.

Menurut Najib, kerajaan akan membentangkan kepada rakyat laporan penuh Indeks Syariah Malaysia apabila ia siap sepenuhnya nanti.

“Ini kerana hasil kajian awal oleh Jawatankuasa Teknikal Indeks Syariah Malaysia mendapati banyak lagi dasar kerajaan serta program susulan yang menepati patuh syariah tetapi belum sempatย  diukur.

“Justeru, dalam usaha kerajaan mengimarahkan kepatuhan syariah terhadap dasar kerajaan selama ini, maka dasar yang tidak berlabelkan Islam tetapi menepati nilai Islam perlulah diambil kira demi mendapatkan ukuran yang lebih tepat dan menyeluruh,” katanya.

Advertisements